Ketepi takut naik bot penambang demi tugas

Ketepi takut naik bot penambang demi tugas

KHAIRUL Azuan Muhamad (tengah) bersama sebahagian murid yang menyertai aktiviti kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: “Cikgu hendak ke Kampung Pagi, Ulu Tembe­ling perlu naik bot penambang selama 45 minit kerana tidak ada jalan darat dan kena bayar tambang RM10,” kata seorang pemandu bot penambang di jeti bot di Kampung Kuala Tahan, di sini 15 tahun lalu.

Kenangan itu segar dalam ingatan guru subjek Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, Khairul Azuan Muhamad yang ditugaskan mengajar di sekolah berkenaan, 15 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, ‘arahan’ pemandu bot berkenaan, Ahmad Nipah (meninggal dunia pada 2021 akibat pandemik Covid-19) menyebabkannya terpinga-pinga kerana berasa takut dan belum pernah menaiki bot penambang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara mahu atau tidak, saya mengikut arahan dengan mengisi beg pakaian ke dalam bot dan melangkah mengambil tempat duduk dalam ke­adaan bot terhuyung-hayang dipukul arus sungai.

“Pada mulanya saya berat hati dan takut sebab belum pernah menaiki bot penambang mudik Sungai Tembe­ling,” katanya semalam.

Menurut Khairul Azuan, dia pernah mendengar cerita daripada rakan guru bahawa keadaan pengangkutan air Sungai Tembeling sangat mencabar kerana bot penambang terpaksa menungkah enam jeram yang berbahaya yang mana sekiranya tersilap, penumpang boleh terhumban ke dalam air.

“Apabila ditanya semula keadaan berkenaan kepada pemandu bot penambang semua cerita yang didengar sebelum ini tidak benar. Malah pemandu bot penambang menenangkan saya supaya jangan bimbang dan akan selamat. Nasihatnya, duduk sahaja dan lihat sendiri bagaimana bot ini melalui jeram,” katanya.

Cerita guru lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim itu lagi, setelah menempuh perjalanan selama 45 minit bersama lima guru lain yang sudah lama mengajar di SK Kampung Pagi, mereka tiba di jeti kampung tersebut selamat menjelang pukul 7 malam.

Khairul Azuan berkata, kehidupannya selama 15 tahun di Kampung Pagi diharungi dalam keadaan seronok ke­rana masyarakat di situ sentiasa mengambil berat serta prihatin dengan orang luar seperti kebanyakan guru yang datang bersilih ganti di situ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN