Pegawai kastam didakwa terima suapan RM69,350 

Pegawai kastam didakwa terima suapan RM69,350 

MOHAMMAD Zyed Ibrahim (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas 43 pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM69,350 pada 2017 hingga 2022.-UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 43 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,350.

Suapan itu supaya tertuduh tidak memeriksa lori milik sebuah syarikat yang membawa keluar barang dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017 hingga 2022.

Tertuduh, Mohammad Zyed Ibrahim, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika prosiding, jurubahasa mahkamah mengambil masa hampir satu jam untuk membacakan 43 pertuduhan terhadap Mohammad Zyed.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang ejen JKDM iaitu Penguasa Kastam gred WK41 yang bertugas di JKDM KLIA, telah secara rasuah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah antara RM200 hingga RM5,000 daripada pemilik syarikat terbabit.

Wang tersebut diterima melalui pemindahan dalam talian daripada akaun syarikat itu ke akaun bank milik tertuduh.

Ia sebagai dorongan kepada tertuduh untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak memeriksa lori-lori milik syarikat terbabit yang membawa keluar barang dari KLIA.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Nilai pada 16 September 2017 hingga 16 Januari 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda  nilai suapan, jika suapan itu boleh dinilai atau bersifat kewangan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pihak pendakwaan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir membantah jaminan diberikan kepada tertuduh atas alasan dia berisiko melarikan diri berdasarkan rekod sebelum ini.

“Proses mencari keberadaan tertuduh mengambil masa 65 hari, malah tertuduh tidak pernah berhubung atau menyerah diri kepada SPRM selain tidak memberikan kerjasama sepanjang siasatan dibuat.

“Jelas tindakan tertuduh menerima suapan suatu pengkhianatan kepada masyarakat dan imej negatif kepada pihak Kastam,” katanya.

Jelas Muhammad Asraf lagi, SPRM juga telah membuat siaran media bagi mencari tertuduh sebelum ditahan di rumah ibunya di Bintulu, Sarawak pada 7 Mei lalu.

Sementara itu, peguam Muhamad Aizat Fakri yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya diberikan jumlah jaminan yang berpatutan atas alasan dia merupakan bapa tunggal kepada seorang anak berusia lima tahun. 

“Tertuduh memang berasal dari Bintulu dan tidak pernah melarikan diri ke sana, sebaliknya tertuduh berada di Bintulu kerana menggalas tanggungjawab menjaga ibunya berusia 66 tahun dan abangnya yang menghadapi masalah mental berusia 43 tahun,” katanya.

Mahkamah kemudian menerima hujahan daripada pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan tertuduh diberikan jaminan kerana berisiko melarikan diri.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Jun 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×