JAKARTA: Rancangan Indonesia menawarkan dua kerakyatan kepada bekas warganegaranya bagi menarik minat mereka yang berkemahiran tinggi untuk kembali ke negara itu mendapat reaksi positif pelbagai pihak.
Pelan dua kewarganegaraan itu diumumkan pada 30 April lalu oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan menjelang pertemuan antara Presiden, Joko Widodo dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella yang menjanjikan AS$1.7 bilion (RM8.03 bilion) pelaburan dalam negara.
Luhut berkata, kerajaan tidak lama lagi akan memberikan dua kewarganegaraan kepada bekas warganegara Indonesia yang tinggal di luar negara sebagai inisiatif membawa pulang lebih ramai tenaga mahir.
Tetapi beliau tidak menawarkan butiran untuk merealisasikannya dan bagaimana ia boleh meyakinkan penggubal undang-undang untuk meluluskan rancangan yang boleh mencetus kontroversi di negara itu.
Presiden Global Diaspora Network Indonesia, Sulistyawan Wibisono yang berkhidmat sebagai peguam tanda dagangan berpangkalan di Melbourne menyifatkan rancangan tersebut sebagai langkah strategik yang akan turut memberi semangat baharu kepada negara itu.
“Jika diaspora Indonesia boleh kembali tanpa banyak halangan, kepakaran mereka akan membawa impak positif kepada perniagaan.
“Golongan profesional yang kini bekerja di luar negara boleh mengisi pekerjaan dalam pelbagai bidang di tanah air seperti teknologi maklumat (IT), perkhidmatan kewangan, perlombongan dan penjagaan kesihatan,” katanya kepada The Straits Times.
Pakar IT yang berpangkalan di Melbourne, Jeffry Merril Liando, 51, berkata, mereka yang ditawarkan dua kewarganegaraan boleh membawa budaya kerja baharu ke Indonesia.
“Mereka mungkin boleh memecahkan budaya birokrasi sedia ada dan lebih berani serta lantang. Perkara ini mampu memberi kesan kepada budaya kerja Indonesia dan mengubah sikap rakyatnya,” jelasnya.
Jeffry melepaskan kerakyatan Indonesia pada 2015 dan menjadi warga New Zealand, begitu juga isteri serta dua anak remajanya yang kini tinggal di Melbourne.
Katanya, dia berharap dapat kembali ke Indonesia untuk bekerja dalam masa terdekat bagi menyumbang kepada pembangunan negara kelahirannya dan mahukan peluang yang sama untuk dua anaknya.










