PUTRAJAYA: Kerajaan setakat ini belum membincangkan mengenai calon sesuai bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Negara susulan kematian Datuk Mutang Tagal, pada 10 Mei lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelantikan jawatan itu terletak di bawah budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.
“Siapa belum tahu lagi dan dari parti mana atau dari negeri mana pun belum tahu lagi.
“Saya kena rujuk kepada Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan setakat ini belum berbincang lagi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) pertama bagi tahun 2024, di sini hari ini.
Ditanya bila mesyuarat akan dilakukan bagi membincangkan jawatan itu, Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, beliau belum pasti akan perkara itu.
“Saya pun tak tahu lagi dan Perdana Menteri pun masih sibuk di Qatar (lawatan rasmi),” katanya.
Tagal, 69, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, pada 10 Mei lalu selepas dilaporkan tidak sihat setelah pulang dari lawatan rasmi ke Azerbaijan.
Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990 itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 pada 19 Februari lalu, sekali gus menjadikan beliau pemimpin pertama etnik Lun Bawang dilantik ke jawatan itu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berharap Perdana Menteri mempertimbangkan wakil dari Sarawak bagi mengisi kekosongan jawatan itu. – UTUSAN











