Pertemuan Malaysia - wakil AS bersifat terus terang - Utusan Malaysia

Pertemuan Malaysia – wakil AS bersifat terus terang

SAIFUDDIN Nasution Ismail (kiri) melepaskan anak ikan pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani KDN Kampung Beng di Lenggong hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Pertemuan pihak Malaysia dengan Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson adalah bersifat berterus-terang dalam menyatakan kedudukan masing-masing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan dibuat dalam pertemuan pada Khamis lalu itu adalah berasaskan maklumat daripada kedua-dua pihak dan Malaysia mengambil maklum apa yang disampaikan oleh AS.

Saifuddin berkata, dalam pertemuan itu beliau menyatakan pendirian Malaysia termasuk hanya mengiktiraf sekatan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan bukan melalui negara tertentu bersifat bersendirian.

“Dia boleh sahaja mengemukakan apa-apa. Menjadi tanggungjawab kita pula untuk memberikan pandangan dan pendirian. Paling penting adalah pertemuan yang berlaku itu adalah pertemuan yang berterus terang yang berasaskan fakta.

“Kita juga menghargai bahawa negara kita dan AS mempunyai sejarah kerjasama yang cukup panjang melalui hubungan diplomatik, perdagangan, ekonomi dan bahkan dalam beberapa perkara adalah kerjasama keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kampung Beng, di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dilaporkan kehadiran Brian Nelson ke sini bertujuan untuk menghuraikan maklumat AS berhubung penyaluran dana kepada Iran dan proksi negara itu termasuk Hamas menerusi sistem kewangan Malaysia.

Kata Saifuddin, disamping mendengar maklumat daripada wakil AS itu, beliau berkata Malaysia juga mempunyai kekuatan perisikan yang tersendiri.

Mengenai Kampung Beng sebagai kampung angkat KDN, beliau berkata, langkah itu adalah lanjutan daripada pengumuman oleh Perdana Menteri melalui Belanjawan 2024 yang memperkenalkan Program Kampung Angkat Madani.

Jelas Saifuddin, usaha itu bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dengan bandar dan meletakkan beberapa sasaran pembangunan di Kampung Beng sehingga akhir tahun ini.

Jelasnya, pembangunan tersebut ialah menaiktaraf kemudahan Internet, pembekalan air bersih, meningkatkan keselamatan termasuk di sungai dan tasik yang bakal memberi manfaat sehingga kepada 4,000 orang penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×