Lega Mukim Gunung tidak lagi diselubungi asap

Lega Mukim Gunung tidak lagi diselubungi asap

KESAN kebakaran yang berlaku di bahu jalan merebak ke kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Kual Kecil, Gunung, Bachok. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Penduduk di tiga buah kampung di Mukim Gunung di sini lega apabila kebakaran hutan yang melanda kawasan ber­kenaan tiga minggu lalu padam sepenuhnya semalam.

Tinjauan di Kampung Beoh, Kampung Kual Kecil dan Kual Besar mendapati asap tebal yang menyelubungi kawasan tersebut sudah ‘bersih.’

Penduduk Kampung Kual Kecil, Abdul Rahman Razak, 44, menyifatkan hujan lebat sejak dua hari lalu bermula pukul 7 hingga 11 pagi sebagai rahmat kerana ia membantu memadam kebakaran selain menamatkan kemarau panjang di kebanyakan kawasan di Kelantan.

“Syukur doa dan solat istiqa’ yang dilaksanakan di semua kampung termakbul.
“Pada masa sama, kami berte­rima kasih kepada anggota bomba dan penyelamat yang tidak mengenal penat dan lelah berusaha mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain,” kata­nya ketika ditemui di kebun kelapa sawitnya di Kampung Kual Kecil di sini, semalam.

Mohammed Khozani, 35, dari Kampung Kual Besar berkata, sebelum ini mereka berdepan masalah sukar bernafas disebabkan asap tebal.

“Sudah dua hari kami tidak nampak asap tebal yang lazim di­lihat pada waktu pagi dan malam sebelum ini. Bagaimanapun, kami berharap hujan akan turun lagi,” ujarnya.

Radzuan Abdullah, 49, dari Kampung Beoh berkata, kebakaran hutan berlaku disebabkan bawaan bunga api yang diterbangkan angin dari kampung berdekatan selain pembuangan putung rokok oleh pengguna laluan Jalan Gunung-Kampung Kulim.

“Kebanyakan kebakaran bermula dari bahu jalan yang kemudian merebak ke kawasan semak dan kebun kelapa sawit.

“Namun, ada juga asap tebal berpunca daripada kebakaran dilakukan pemilik kebun yang membersihkan kebun masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, pihaknya berjaya memadamkan kebakaran terbuka seluas 156.6 hektar di Kampung Kual, Beris Ladang melibatkan kawasan hutan gelam, belukar, kebun sawit dan kebun getah.

“Seramai 33 anggota bomba termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia terlibat dalam operasi berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×