PETALING JAYA: EZCook By Nash menyasarkan untuk menembusi pasaran luar negara menerusi produk sambalnya yang diperakui halal.
Pemiliknya, Nasrul Azira Overmeyer atau lebih mesra dikenal sebagai Sis Jerman berkata, buat masa ini kumpulannya masih berusaha untuk mengenal pasti prosedur yang membolehkan jualan produknya untuk ke pasaran luar.
Katanya, jika produk berpeluang untuk dijual ke negara lain, aspek seperti kualiti produk dan naik taraf kilang perlu dipertimbangkan.
“Perniagaan EZCook By Nash yang bermula pada Oktober 2022 dijual dalam talian, memperkenalkan dua jenis produk pada awalnya iaitu sambal bilis dan sambal terung balado.
“Berdasarkan pengalaman saya, sesetengah tempat di luar negara yang sukar untuk memperoleh makanan yang halal.
“Jadi, saya berusaha mendapatkan sijil halal dan setelah lima bulan menjalani pelbagai proses, akhirnya produk sambal saya disahkan halal pada April 2023,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pihaknya mengolah sambal yang sedia untuk dimakan, malah boleh ditukar kepada resepi-resepi lain mengikut kreativiti pembeli.
“Ini adalah bagi bertujuan agar kami betul-betul mengeluarkan produk yang memang sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia, sama ada dari segi perasa dan tekstur,” katanya.
Tambahnya, beliau bersama kumpulan mengatur strategi untuk produknya lebih berkembang agar enama EZCook By Nash tidak asing terutama bagi rakyat Malaysia.
Oleh itu, dengan memperkenalkan botol mini untuk sambal yang sesuai untuk satu hidangan sahaja, boleh membuatkan mana-mana pembeli yang berasa ragu-ragu boleh membeli botol tersebut.
“Pembungkusan sambal dalam botol mini juga boleh bersesuaian untuk dijadikan cenderamata bagi tetamu bagi majlis perkahwinan, aqiqah dan sebagainya.
“Daripada itu, bila tetamu atau mereka yang menerimanya sudah merasa sambal kami, kami yakin bilangan pelanggan akan bertambah dari masa ke semasa,” katanya.
Seiring dalam memperjuangkan makanan Malaysia, pada tahun ini EZ Cook By Nash memperkenalkan produk terbaharu mereka iaitu, kudapan orang tempatan, chip tempe berperisa asli.-UTUSAN










