HULU SELANGOR: Usaha Perikatan Nasional (PN) untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu untuk melengkapkan penguasaannya terhadap Parlimen Hulu Selangor gagal apabila tewas dengan Pakatan Harapan (PH) yang meraih majoriti, 3,869, semalam.
Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan tersebut, calon PH, Pang Sock Tao memperoleh 14,000 undi meninggalkan calon PN, Khairul Azhari Saut yang sekadar meraih 10,151 undi.
Sementara dua lagi yang bersaing dalam pertembungan empat penjuru iaitu calon bebas, Nyau Ke Xin dan wakil daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin masing-masing hilang deposit apabila masing-masing meraih 188 dan 152 undi.
Pegawai Pengurus PRK Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Audree Kamaruddin berkata, sebanyak 61.51 peratus daripada 40,226 pemilih berdaftar atau kira-kira 25,594 pengundi keluar mengundi bagi kawasan DUN tersebut.
“Saya selaku pegawai pengurus bagi bahagian PRK N.06 Kuala Kubu Baharu, dengan ini mengisytiharkan keputusan yang diperolehi adalah, Khairul Azhari, memperolehi undi 10.151; Pang Sock Tao daripada PH, bilangan undi 14,000.
“Nyau Ke Xin parti bebas, memperolehi 188 dan Hafizah Zainudin daripada PRM, bilangan 152 Dengan ini saya mengisytiharkan bahawa Pang Sock Tao daripada PH dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi bahagian PRK N.06 Kuala Kubu Baharu,” katanya, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, PRK Kuala Kubu Baharu, malam tadi.
Tambahnya, daripada jumlah tersebut juga, sebanyak 263 kertas undi ditolak apabila dikira sebagai undi rosak
Menerusi kemenangan tersebut, PH berjaya mengekalkan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu yang dirampas daripada MCA – Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2013.
Sementara itu, Sock Tao ketika ditemui memberitahu, akan melaksanakan tugas pertamanya sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan penyelesaian masalah yang menjadi keperluan bagi penduduk disitu.
“Ini adalah kemenangan untuk penduduk di Kuala Kubu Baharu dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada mendiang Lee Kee Hiong yang selama ini berdedikasi berkhidmat.
“Saya akan bekerjasama bergerak sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan masalah tempatan bagi menjamin kesejahteraan rakyat di sini,” katanya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada jentera semua parti dan seterusnya daripada lebih 10,000 undi yang kita perolehi, saya ucapkan terima kasih yang teramat tinggi kepada semua yang menyokong.
“Kemudian, dalam tempoh berkempen, sudah tentu saya menerima banyak aduan sampai ada yang masih belum diselesaikan, jadi pada saya tunaikanlah janji kepada (oleh) kerajaan (rakyat) dan calon yang menang kerana ada isu-isu yang masih belum diselesaikan, itu yang harus dibuat oleh pihak yang menang,” jelasnya.
Terdahulu, PRK Kuala Kubu Baharu diadakan apabila kerusi DUN N.06 itu diisytihar kosong oleh Speaker Dewan Negeri Selangor selepas penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Bagaimanapun, jumlah majoriti yang diperolehi Sock Tao berbanding berbanding mendiang mendiang Lee Kee Hiong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu menurun daripada 4,119 kepada 3,869 undi.
Pada PRN Ogos tahun lalu, Kee Hiong memperoleh 14,862 sekaligus berjaya mempertahankan kerusi tersebut yang dimenanginya dengan 4,119 majoriti.
PN sebelum ini melancarkan ‘misi 4-0 untuk menewaskan DAP dalam PRK Kuala Kubu Baharu yang berlangsung hari ini
Untuk rekod, PN sudah menguasai Parlimen Hulu Selangor serta DUN Hulu Bernam dan Batang Kali, justeru gabungan parti itu menaruh keyakinan untuk menang di kubu kuat DAP itu. – UTUSAN










