KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melakar kecemerlangannya dalam sukan pelayaran apabila menghantar pasukan tunggal mewakili Malaysia ke Kejohanan FISU World Universiti Championship, di Itali.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud berkata, kementerian berbangga dengan kejayaan tersebut dan berharap UMT akan menjadi juara dalam kejohanan peringkat dunia yang akan berlangsung dari 4 hingga 11 Jun depan.
Menurutnya, kesemua enam pelajar UMT iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan itu adalah duta kecil KPT untuk mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di pentas dunia.
“KPT telah menyumbangkan 20 peratus atlet negara dan amat berbangga dengan pencapaian yang dilakar selama ini.
“Ia adalah gambaran positif tentang kualiti terbaik yang dimiliki pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang sukan hingga ke pentas antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan gimik pelepasan Kontinjen Pelayaran UMT mewakili Malaysia di Pulau Duyong, di sini, hari ini.
Enam pelajar yang akan mewakili UMT ke kejohanan tersebut ialah Nur Muhammad Aqil Nadzri, 21, Mohamad Hanif Mohd. Shafiee, 20, Nur Zulaikha Mohd. Zafarin, 21, Nur Sofea Balqis Kamal Azalan, 21, Nur Ainul Izzati Zil Husham, 23, dan Muhammad Faris Aiman Basri, 22, yang juga ketua pasukan.
Pusat Latihan Pelayaran UMT adalah salah satu unit di bawah Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni UMT yang ditubuhkan untuk memperkasakan aktiviti dan ilmu pelayaran dikalangan pelajar universiti dan masyarakat.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, penganjuran Karnival Sukan Universiti Malaysia (Masum) adalah antara platform mencungkil bakat dalam kalangan pelajar di seluruh negara.
Menurutnya, KPT akan mengumumkan insentif khas sekiranya pasukan UMT berjaya meraih emas dalam kejohanan itu nanti sebagai penghargaan buat mereka.
“Kita yakin mereka akan cemerlang di kejohanan itu kerana telah membuat persediaan rapi sebelum ini dan telah menyertai kejohanan di Korea Selatan dan Bahrain sebagai pendedahan,” ujarnya. – UTUSAN










