NIBONG TEBAL : Rancangan untuk mentransformasikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di Sungai Petani, Kedah menjadi Kolej Tingkatan Enam yang menjadi isu sebelum ini kini sudah selesai sepenuhnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika mengumumkan perkara itu berkata, keutamaan kini diberikan terhadap usaha menaik taraf sekolah terbabit bagi memenuhi keperluan pelajar di sana.
“Isu ini telah selesai dan apa yang kita mahu tumpukan sekarang adalah bagaimana hendak menaikkan taraf sekolah itu sebagai Pusat Tingkatan Enam.
“Tiada isu lain berbangkit manakala soal akses pendidikan juga telah pun selesai. Saya fikir, tidak ada apa-apa isu yang perlu dirisaukan terutamanya ibu bapa kerana anak-anak ini akan masih bersekolah sehingga tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan alumni sekolah berkenaan yang membuat petisyen secara dalam talian bagi membantah langkah menjadikan sekolah itu kepada Kolej Tingkatan Enam.
Terdahulu, Fadhlina hadir merasmikan Karnival HIP Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, di Nibong Tebal di sini, hari ini.
Tambah Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, apa yang berlaku itu adalah keputusan yang telah pun dipersetujui dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan khususnya memberi tumpuan kepada pelajar Tingkatan Enam di kawasan tersebut.
Bulan lalu, media melaporkan antara alasan bantahan yang dikemukakan adalah SMK Khir Johari ditubuhkan sejak tahun 1912.
Sekolah itu menjadi lambang perjuangan penduduk tempatan menubuhkan sekolah Melayu yang setanding sekolah aliran Inggeris sebelum kemerdekaan negara.
Selain itu, penutupan aliran perdana di sekolah yang mampu menempatkan sehingga 1,500 pelajar akan menyebabkan kesesakan di sekolah menengah berhampiran kerana perlu menampung tambahan pelajar baharu.-UTUSAN










