KLUANG: Penghantaran pertama helikopter Black Hawk Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sepatutnya dihantar pada April lalu, akan diuruskan mengikut syarat yang dipersetujui dalam kontrak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jika pihak kementerian menilai kontrak itu tidak boleh dilaksanakan, pihaknya akan membuat keputusan sama ada batal, buka tender semula dan sebagainya.
Katanya, dalam soal perolehan seperti ini, isu kelewatan bukan masalah besar dan perkara berkenaan akan diuruskan mengikut syarat yang ditetapkan dalam kontrak sebelum ini.
“Itu sebabnya dalam kontrak kita mengambil kira bahawa perkara seperti ini (kelewatan) memang akan terjadi dan kita akan sentiasa rujuk kontrak.
“Namun, jika kita tidak boleh melaksanakan penghantarannya, maka kita akan buat satu keputusan yang sewajarnya,” katanya ketika melawat Kem Mahkota Kluang, di sini semalam.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilaporkan berkata, penghantaran peringkat pertama itu melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat.
Menurutnya, helikopter berkenaan sepatutnya diterima TDM November lepas, bagaimanapun susulan beberapa kekangan melibatkan kontraktor dan pengeluar helikopter berkenaan menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.
Ketika ditanya mengenai kenapa kerajaan tidak membeli berbanding dengan sewa, Mohamed Khaled berkata, ia sejajar dengan langkah penjimatan.
“Dahulu memang beli (aset kententeraan) tetapi sekarang ini pendekatan kerajaan untuk memajak kerana ada elemen penjimatan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Mahkota, beliau berkata, sejumlah RM11,438,500 diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan RKAT dalam usaha memelihara kebajikan dan kemaslahatan warga TDM. – UTUSAN











