KUALA LUMPUR: CIMB Securities Sdn. Bhd. (CIMB Securities) menyasarkan penguasaan pada paras digit tunggal yang tinggi di pasaran modal tempatan menjelang akhir tahun, sambil menyokong aspirasi kerajaan untuk membentuk ekosistem yang meriah dan merangsang pertumbuhan pasaran modal.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank, Novan Amirudin berkata, CIMB Securities telah menyaksikan permulaan positif tahun ini.
“Daripada pemilikan bahagian pasaran kurang satu peratus pada bulan Januari, kami berada pada paras 4.5 peratus pada Mac.
“Dalam tempoh dua bulan pertama, kami telah mengantara dagangan blok bernilai RM6.3 bilion, termasuk penjualan kepentingan AmBank oleh ANZ berjumlah RM2.1 bilion yang merupakan perdagangan blok ekuiti terbesar di Malaysia sejak tujuh tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran CIMB Securities di sini.
Menurut beliau, kemasukan CIMB Securities ke pasaran mengukuhkan ekosistem kumpulan, membolehkan mereka melengkapkan cadangan nilai perbankan borong yang komprehensif untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan melalui pendekatan ‘satu bank’ mereka.
“Mengguna pakai pendekatan berstruktur dan berperingkat, kami mempunyai pelan hala tuju yang jelas untuk masa depan di mana kami akan memberi tumpuan pertama kepada pasaran borong, dan kemudian memberi tumpuan kepada segmen runcit dan kekayaan.
“Kami akan bekerjasama dengan pemain antarabangsa dan serantau, untuk membawa kandungan dan idea antarabangsa kepada pelanggan kami, tetapi tanpa kos pasukan lapangan di rantau ini.
“Kami juga melabur dalam teknologi untuk meningkatkan perniagaan kami pada masa yang sesuai,” katanya.
Pada 8 Februari lalu, CIMB Group Holdings Berhad telah menyelesaikan pengambilalihan KAF Equities Sdn. Bhd. menerusi bank pelaburannya, CIMB Investment Bank Berhad yang dijenamakan semula sebagai CIMB Securities.
Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi bank tersebut untuk mengembangkan keupayaan dalaman yang melengkapkan perniagaan Perbankan Borong kumpulan di Malaysia.
CIMB Securities akan menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan ekuiti dan melengkapkan produk lain dalam francais Perbankan Borong merangkumi pembiayaan, pengur pengurusan tunai, perbendaharaan dan pasaran serta nasihat perbankan pelaburan.
la akan menggabungkan pasukan penyelidikan dan jualan tempatan yang berpengalaman dan mendalam dengan perkongsian serantau dan global, untuk menyediakan kandungan global eta cadangan nilai kepada pelanggan CIMB. – UTUSAN










