PETALING JAYA: UOB Malaysia melaporkan jumlah pendapatan operasi paling tinggi sebanyak RM4.6 bilion dan keuntungan bersih sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2023.
UOB Malaysia berkata, pendapatan operasi bank itu pertama kali meningkat 19.3 peratus berbanding RM3.9 bilion pada tahun sebelumnya melebihi paras RM4 bilion, manakala PBT melonjak 44.4 peratus berbanding RM1.3 bilion pada 2022.
“Peningkatan dalam pendapatan operasi bersandarkan pertumbuhan dalam pendapatan faedah bersih sebanyak 7.4 peratus kepada RM2.9 bilion, dan pendapatan lebih tinggi daripada perniagaan Perbankan Islam meningkat 14.8 peratus kepada RM169.6 juta.
“Pendapatan operasi lain juga meningkat 50 peratus kepada RM1.6 bilion didorong sebahagian besarnya oleh keuntungan pertukaran asing bersih dan fi yang lebih tinggi, dan pendapatan komisen,” katanya.
Dari segi teras perniagaan, katanya, pendapatan operasi untuk perbankan borong melonjak 18.5 peratus kepada RM2.1 bilion bersandarkan pertumbuhan kukuh dalam aliran perniagaan perbankan transaksi dan pasaran global.
“Bank juga telah menyediakan pinjaman pembiayaan hijau berjumlah RM6.2 bilion sehingga kini bagi membantu perniagaan tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Sementara itu, katanya, pendapatan operasi perbankan runcit meningkat 46.1 peratus kepada RM1.9 bilion disebabkan terutamanya peningkatan ketara dalam pendapatan faedah bersih serta pendapatan fi dan komisen, di mana sebahagiannya adalah akibat daripada penggabungan perniagaan Perbankan Pengguna Citigroup.
“UOB Malaysia merupakan yang pertama antara empat pasaran serantau untuk menyepadukan pangkalan pelanggan Citigroup ke platform UOB pada Julai tahun lepas,” katanya
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pencapaian prestasi kewangan itu didorong oleh keputusan kukuh daripada perniagaan teras dan pengurusan kos yang berdisiplin.
“Berpandukan pelan strategi tiga tahun, UOB Malaysia akan terus memanfaatkan kedudukan dan kepakaran meluas kami dalam membantu perniagaan membuka laluan baharu pertumbuhan di seluruh rantau melalui perdagangan dan pelaburan rentas sempadan,,” ujarnya. – UTUSAN









