UOB permudah lebih RM18 bilion FDI sejak 2024, perkukuh momentum pelaburan JS-SEZ - Utusan Malaysia

UOB permudah lebih RM18 bilion FDI sejak 2024, perkukuh momentum pelaburan JS-SEZ

ONN Hafiz Ghazi bersama Ng Wei Wei (kiri) dan Ketua Kumpulan Saluran & Pendigitalan serta Komunikasi Strategik dan Jenama, UOB ,Janet Young melakukan gimik perasmian sempena program Forum Strategik UOB JS-SEZ 2026 di Johor Bahru, Johor. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UOB memainkan peranan aktif dalam memudahkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) melebihi RM18 bilion ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sejak 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, UOB telah memberi tumpuan pada langkah-langkah praktikal yang membantu mengubah minat kepada tindakan sebenar sejak awal inisiatif ekonomi tersebut dilaksana.

“Dalam menggabungkan keutamaan pembangunan Johor dengan peranan Singapura sebagai hab perniagaan global, syarikat di kedua-dua belah Tambak Johor dapat melaksanakan peluang rentas sempadan dengan berkesan.

“Melalui kerjasama dengan Invest Johor, MIDA, IRDA dan pihak berkepentingan lain, kami dapat memudahkan pelaburan bernilai tinggi secara berterusan dari pelbagai negara ke dalam JS-SEZ, justeru mengukuhkan ketersambungan rantaian bekalan sambil menyampaikan manfaat ekonomi untuk Malaysia dan Singapura,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kejayaan menarik pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan pekerjaan mahir dan memberi impak yang bermakna itu susulan kerjasama erat antara Invest Johor dan UOB.

Katanya, kerajaan negeri menghargai sokongan berterusan UOB dalam memajukan strategi jelas, pelaksanaan konsisten dan berfokuskan pelabur dalam meletakkan JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan terkemuka dan berdaya saing.

“Keutamaan kami jelas. Setiap pelaburan diperoleh mesti menyampaikan hasil nyata, termasuk peluang pekerjaan lebih baik, industri tempatan yang lebih kukuh dan nilai yang berkekalan untuk setiap rakyat Johor.

“UOB Malaysia merupakan antara syarikat terawal menyokong inisiatif ‘Green Lane’ bagi mempercepat kemasukan pelaburan dalam JS-SEZ. Mereka juga menganjurkan dialog serantau serta memeterai pelbagai Memorandum Persefahaman di samping memacu pertumbuhan infrastruktur digital,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Forum Strategik UOB – Invest Johor 2026 di sini semalam.

Sementara itu, forum tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama EcoWorld, Knight Frank Malaysia, Liberty General Insurance Berhad dan RDS Partnership dihadiri seramai lebih 400 peserta terdiri daripada bakal pelabur dari luar negara, syarikat multinasional, perusahaan kecil dan sederhana serta wakil daripada dewan perniagaan dan persatuan perdagangan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN