KERJAYA sebagai doktor lazimnya menerima gaji lumayan namun ia berbeza bagi Dr. Siti Nur Alia Kamarulzamil yang tidak mengenakan sebarang bayaran ke atas pesakit yang dirawatnya.
Dr. Siti Nur Alia, 36, yang berasal dari Subang Jaya, Selangor, berkhidmat sebagai doktor secara sambilan, dari rumah ke rumah di kawasan perumahan kejiranannya di Tanta, Mesir sejak dua tahun lalu.
Kebanyakan penduduk yang menerima rawatannya, bekerja sebagai petani dan hanya mampu memberikan seikat sayur atau buah sebagai ‘bayaran’ dan tanda terima kasih kepada Dr. Siti Nur Alia.
Bagi Dr. Siti Nur Alia, bayaran bukanlah menjadi persoalan utama namun apa yang lebih penting adalah mengamalkan ilmu kedoktoran yang diraihnya daripada Universiti Tanta, Mesir.
“Saya memang tidak mengenakan sebarang caj kepada pesakit di sini. Ini disebabkan sistem perubatan di Mesir, pesakit perlu membeli sendiri ubat berdasarkan preskripsi yang dikeluarkan oleh doktor.
“Farmasi di sini juga sangat banyak. Doktor memang tidak pegang stok ubat pun. Hatta Doktor yang ada klinik sendiri pun tidak mempunyai stok ubat, “katanya kepada Seri.
Tambah Dr. Siti Nur Alia lagi, ubat-ubatan di jual di negara itu juga boleh dikatakan murah selepas ditukar kepada Ringgit Malaysia (RM).
Sebagai contoh, sebotol sirap paracetamol bersaiz 180 mililiter (ml) untuk kanak-kanak boleh dibeli kira-kira RM12. 28.
Bagi pesakit yang memerlukan perkhidmatan memasang jarum dan memasukan ubat melalui salur darah atau intravenous (IV), pesakit juga perlu membeli sendiri jarum di farmasi.
Dr. Siti Nur Alia akan datang ke rumah pesakit untuk memasang set untuk jarum IV.
“Disebabkan itu, saya jadi serba salah untuk mengenakan caj. Apalah sangat yang saya lakukan untuk menggenakan bayaran? Tapi penduduk di sini baik, kadang-kala saya dapatlah seplastik buah buahan atau seikat sayur.
“Sistem kesihatan di Mesir tidak seperti di Malaysia di mana banyak akses ke klinik awam yang dikendalikan oleh pengamal perubatan am. Disini kebanyakan klinik adalah klinik berpakar dan memberikan rawatan lebih spesifik. Bagi urusan rawatan awam, pesakit perlu ke hospital kerajaan dan waktu menunggu adalah sangat lama,” katanya.
Tambahnya, tempoh menunggu di hospital agak lama disebabkan faktor kepadatan penduduk dan kos rawatan yang percuma. Beliau juga mengakui tidak mempunyai sebarang keistimewaan khas walaupun berkahwin dengan warganegara Mesir.
Malah pilihan kerjaya yang ada pula sangat terhad dalam sektor swasta sahaja. Dalam sektor swasta seperti yang semua maklum, kebanyakannya adalah khidmat berpakar.
Katanya, tambahan pula sistem universiti di sana melazimkan graduan perubatan untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana.
Jadi, kebanyakkan mereka memiliki sijil pakar yang kemudiannya membuka klinik persendirian.
Bagi Dr. Siti Nur Alia, kerja di mana-mana pun tetap ada cabarannya. Sebagai doktor wanita yang menawarkan khidmat rawatan rumah ke rumah, adakalanya beliau mendapat panggilan kecemasan untuk memeriksa pesakit di tengah malam.
Justeru, beliau perlu membawa suaminya sekali sebagai peneman atas faktor keselamatan bagi mengelakkan berlaku sebarang fitnah atau salah laku.
“Kekerapan berjumpa dan memeriksa pesakit tidak menentu. Kadang-kala cuma dua pesakit sahaja dalam sehari. Ada hari yang tiada panggilan langsung.
“Saya lebih gembira bekerja secara sebagai doktor sambilan. Saya tidak terikat dengan jadual klinik atau hospital dan terhad kepada kawasan
kejiranan sekitar perumahan sahaja. Khidmat yang ditawarkan juga lebih kepada rawatan umum,” katanya.
Secara amnya, Dr. Siti Nur Alia menawarkan rawatan ubat-ubatan seperti preskripsi ubat, suntikan ubat berkala dan rawatan kecemasan sebelum pesakit dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
PESAKIT PENGSAN TENGAH JALAN
Dr. Siti Nur Alia berkata, kebanyakan pesakitnya adalah dalam kalangan orang kampung berkasta rendah, mereka yang kurang berkemampuan ataupun yang menghidap penyakit kronik dan menunggu ajal.
Berdepan dengan pelbagai kerenah pesakit, Dr. Siti Nur Alia mengakui banyak pengalaman pahit manis sepanjang berkhidmat untuk masyarakat di situ.
“Antara pengalaman menarik sepanjang menjalankan merawat yang paling saya ingat adalah ketika dipanggil untuk rawatan kecemasan di satu petang yang membabitkan seorang wanita warga emas.
“Wanita itu pengsan di tengah jalan, tidak jauh dari rumah saya. Hasil pemeriksaan awal, saya dapati semuanya normal. Ada tindak balas kepada ransangan, boleh bernafas sendiri, bacaan gula normal, bacaan tekanan darah juga normal,”katanya.
Namun, tiba-tiba dari jauh beliau terkejut apabila terdengar jerit pekik seseorang yang datang kearahnya dan berkata, “Hentikan lakonanmu sekarang!!!”. Serta merta wanita itu membuka matanya.
“Rupa-rupanya, wanita berkenaan berpura- pura pengsan kerana baru bergaduh dengan anaknya di rumah!
“Menurutnya, anaknya itu melayannya dengan kasar. Jadi, dia keluar dan inginkan perhatian dan simpati dari orang ramai di kejiranan berkenaan. Itulah drama sinetron di petang hari,” katanya berkongsi cerita berkenaan.
Dr. Siti Nur Alia yang mempelajari asas bahasa Arab sejak di sekolah rendah, mengakui lebih fasih berbahasa berkenaan selepas melanjutkan pengajian di Mesir.
Beliau juga kini mampu menguasai bahasa itu kerana perlu berkomunikasi dengan ahli keluarga suami dan pesakitnya yang kebanyakannya penduduk setempat.
BERKORBAN DEMI SUAMI
Demi bersama suami tercinta, Mohamed Ali Mohamed, warga Mesir, Dr. Siti Nur Alia, rela berkorban meninggalkan tanah air
dan kerjayanya sebagai doktor di Hospital Besar di Seremban, Negeri Sembilan pada Disember 2022.
Tambahan pula, sebagai satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, suaminya, Mohamed Ali perlu menjaga ibunya yang semakin berusia di bandar Tanta.
Atas faktor ibu mentua yang tidak berapa sihat dan bapa mentua pula sudah meninggal dunia, suaminya perlu menjaga ibunya.

Tanta adalah bandar kecil kalau hendak dibandingkan dengan Cairo atau Alexandria, memang boleh dikategorikan sebagai sebuah kampung.
Malah kereta kuda dan keldai masih digunakan sebagai pengangkutan di sini.
“Sebenarnya saya pernah pulang menetap di Malaysia pada tahun 2019 sehingga akhir tahun 2022 kerana tuntutan kerja di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Besar Tuanku Jaa’far, Seremban.
“Ketika itu saya terpaksa memilih untuk berhubungan jarak jauh dengan suami dan anak sulung yang masih kecil di Tanta. Memang sedih bila berjauhan dengan mereka,” katanya.
Akhirnya pada Disember 2022, Dr. Siti Nur Alia secara rasminya berhenti kerja kerana pulang ke Mesir untuk bersama suami dan anaknya.
Dr. Siti Nur Alia berkata, dia tidak menyangka bertemu jodoh dengan orang Mesir selepas berkenalan dengan suaminya itu ketika melanjutkan pengajian di pusat pengajian di sinisekitar tahun 2014.
“Ketika itu, suami bekerja sebagai pengurus di sebuah kafe yang juga adalah kegemaran pelajar Malaysia untuk singgah makan selepas habis,kuliah. Termasuklah saya sendiri,” katanya.
Dr. Siti Nur Alia yang menyambung pengajian di Mesir pada tahun 2007, bernikah pada tahun 2016 di Kedutaan Besar Malaysia bertempat di Rumah Anak Negeri Selangor, Hayy Asyir, Kaherah.
Beliau bersyukur kerana dikurniakan suami yang sentiasa memberikan sokongan dan galakan dalam kerjayanya.
“Dengan izin suami juga, saya dapat berkerja di Malaysia dahulu walaupun terpaksa berjauhan untuk tempoh masa yang agak lama.
“Harapan saya, semoga saya dapat memperbaiki diri menjadi isteri dan ibu yang lebih baik dari sekarang. Semoga sedikit ilmu yang saya ada ini bermanfaat dan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Ditanya mengenai suasana sambutan Aidilfitri, baru-baru ini, Dr. Siti Nur Alia berkata, perayaanm hari mulia itu tidak semeriah di Malaysia.
Ini disebabkan rata-rata penduduk di sini lebih meraikan Ramadan berbanding Syawal.










