NAYPYIDAW: Ketua tentera Myanmar mengadakan perbincangan mengenai rancangan untuk mengadakan pilihan raya di negara itu dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.
Seorang pegawai kanan tentera berkata, rancangan itu didapati lebih baik walaupun junta yang memerintah menghadapi tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini daripada pihak penentangan bersenjata.
Kerajaan junta tentera berjanji berulang kali untuk mengembalikan Myanmar kepada demokrasi tetapi tidak memberikan jangka masa bila pilihan raya akan berlaku.
Hun Sen yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Kemboja tahun lalu selepas hampir empat dekad memikul tanggungjawab berkata, beliau meminta Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing untuk bercakap dengan penerima anugerah Nobel yang ditahan, Aung San Suu Kyi.
Kerajaan pilihan Suu Kyi digulingkan oleh tentera dalam rampasan kuasa pada 2021.
Hun Sen berkata, Min Aung Hlaing akan mempertimbangkan permintaannya.
Dalam pada itu, jurucakap junta, Zaw Min Tun berkata, Hun Sen adalah seorang pemimpin berpengalaman yang mempunyai minat di Myanmar.
Bagaimanapun, dia tidak menyebut secara langsung cadangan untuk bercakap dengan Suu Kyi.
“Kami berjanji untuk mengadakan pilihan raya demokrasi berbilang parti. Kami kini sedang menyediakan dan melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk itu.
“Dari pihak kami, kami akan menahan diri daripada sebarang tindakan atau perkara yang boleh melambatkan atau mengganggu proses, kata Zaw Min Tun, menurut media kerajaan.
Myanmar dilanda huru-hara akibat rampasan kuasa 2021 dengan Suu Kyi antara ratusan yang ditangkap. -REUTERS










