Kilang kereta perisai bakal bertapak di Lipis - Utusan Malaysia

Kilang kereta perisai bakal bertapak di Lipis

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebuah kilang kereta perisai bakal bertapak di Kawasan Perindustrian Padang Tengku Fasa II di Lipis, dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tapak projek kilang oleh MILDEF International Sdn. Bhd itu sudah diluluskan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK) manakala agensi pelaksana projek adalah Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

“Pihak syarikat sedang dalam rundingan memuktamadkan pelaburan dan dijangka mula melabur apabila pelaburan fasa pertama daripada Kilang Peluru Ketech Asia Sdn. Bhd. beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang bertanyakan tentang tahap kemajuan pelaksanaan Lipis sebagai Bandar Pertahanan dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, pembinaan kilang kereta perisai itu merupakan satu lagi pelaburan berpotensi bakal bertapak di Kawasan Perindustrian Padang Tengku Fasa Il dengan pelaburan pertama bernilai RM150 juta oleh syarikat Ketech Asia Sdn. Bhd. merupakan kilang pembuatan peluru pertama negara.

“Untuk makluman, pembangunan kilang di atas tanah milik PKNP yang dipajak kepada syarikat dengan keluasan 40 hektar ini telah mencapai 82 peratus setakat 15 Mac lalu dan dijangka siap sepenuhnya untuk beroperasi pada suku akhir tahun ini. Pembukaannya dijangka membuka 150 peluang pekerjaan yang baru,” katanya.

Menurutnya, sejajar dengan kelulusan projek kilang pembuatan peluru dan kilang kereta perisai terbabit, semua bentuk pelaburan yang berkaitan pertahanan akan dicadang untuk dilaksanakan dalam kawasan Perindustrian Padang Tengku Fasa II.

“Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan upah dan kontrak perkhidmatan melalui peluang-peluang pekerjaan yang bakal ditawarkan kelak kepada penduduk tempatan.

“Pelaksanaan projek pembangunan terutama pelaburan komersial akan menjadi pemacu kepada peningkatan ekonomi setempat melalui peningkatan penduduk dan peningkatan perbelanjaan isi rumah, limpahan ekonomi dari sudut permintaan perkhidmatan, perumahan dan utiliti, penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan untuk penduduk sekitar.

“Ia juga berpotensi membuka ruang kepada peniaga tempatan untuk meningkatkan pendapatan berikutan saiz pasaran yang semakin bertambah dan peningkatan perbelanjaan pelancongan dan rekreasi daerah Lipis,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini