Dasar Kabinet Muhyiddin tidak fikir soal rakyat - Utusan Malaysia

Dasar Kabinet Muhyiddin tidak fikir soal rakyat

Muhyiddin
SHAMSUL Anuar Nasarah berucap pada Program Ceramah Isu Semasa dekat Bandar Utama Batang Kali di Hulu Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kabinet yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa lebih mementingkan kedudukannya sebagai kerajaan pada ketika itu berbanding soal rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dasar dan polisi yang dilaksanakan oleh Muhyiddin yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) adalah untuk menjaga kedudukan.

Menurut beliau, perkara tersebut terjadi oleh kerana kerajaan yang dibentuk pada ketika itu tidak berada dalam keadaan stabil.

“17 bulan saya di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak sempat jugak nak cakap soal (kebajikan rakyat). Semua polisi (dan) dasar dibuat hanya nak jaga kedudukan kerajaan (kerana) takut jatuh serta sebagainya.

“Sebab itu kita tidak merancana pembangunan, baik pembangunan ekonomi dan sebagainya dengan begitu baik dan berkesan, lebih kepada usaha untuk perkukuh kedudukan,” katanya ketika berucap di Program Ceramah Isu Semasa di Bandar Utama, Batang Kali, malam tadi.

Untuk rekod, Shamsul Anuar menjawat jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli selepas Muhyiddin mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan.

Shamsul Anuar berkata, beliau percaya sekiranya PN memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu maka mereka akan membuat provokasi terhadap kerajaan.

“Kononnya kerajaan ini tidak kuat, ditolak dan sebagainya. Maka sekali lagi akan mewujudkan suasana yang ketidakstabilan,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, Kerajaan Perpaduan kini tidak hanya memberi tumpuan kepada kelompok tertentu sahaja tetapi keseluruhan.

“Pembangunan berskala besar dibuat tetapi yang kecil-kecil juga diberi tumpuan. Kabinet buat keputusan setiap Menteri, pegawai-pegawai utama kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kena jaga satu kampung (setiap) seorang. Itu mesej (yang) jelas.

“Soal-soal besar kita beri tumpuan, hal-hal kecil kita ambil berat. Ini melambangkan bagaimana kerajaan memberi perhatian kepada semua kelompok, tidak kira siapa, agama (dan) bangsa apa. Kita tetap mengikut apa yang ada (di) dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×