Penduduk persoalkan kelulusan loji proses simen

Penduduk persoalkan kelulusan loji proses simen

PUSAT pemerosesan simen siap di Parit Haji Othman, Kampung Seri Bunian yang mencetuskan bantahan penduduk kampung di Pontian, Johor. – UTUSAN/MUHAMMA ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Seri Bunian dan Kampung Parit Haji Othman di sini membantah pembinaan pusat memproses simen kerana didakwa boleh menjejaskan alam sekitar.

Mereka juga mempersoalkan bagaimana tanah yang berstatus tanah pertanian boleh bertukar kepada tanah industri tanpa mengambil kira kesesuaiannya selain berada berhampiran kawasan penduduk.

Menurut seorang penduduk, Halipah Ahmad, 50, berkata, penduduk terkejut apabila terbinanya pusat memproses simen siap walaupun sebelum ini telah mengemukakan bantahan kepada pihak-pihak ber­kenaan.

Katanya, walaupun belum beroperasi sepenuhnya tetapi penduduk berhampiran terpaksa menutup tingkap dan pintu kerana masalah debu yang berterbangan daripada kawasan tersebut.

“Semasa hari raya baru-baru kami tidak berani membuka pintu dan tingkap kerana bimbang debu akan menyebabkan masalah kesihatan kepada warga emas dan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Haji Othman, di sini, semalam.

Seorang pesara, Fadzil Mohammad, 66, pula meminta pihak syarikat menangguhkan operasi sepenuhnya kerana penduduk masih inginkan jawapan dari pihak berwajib mengenai projek tersebut.

Katanya, ini termasuklah agensi seperti Pejabat Tanah Pontian, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengetahui status sebenar projek tersebut.

Menurut Fadzil, penduduk mempersoalkan mengapa projek tersebut boleh memulakan kerja, tanpa ada sebarang papan tanda atau pemberitahuan sepertimana projek pembangunan yang lain.

“Tiba-tiba sahaja terbina empat ‘menara’ di kampung kami yang menyebabkan kami tertanya-tanya projek apakah ini, pihak mana yang memberikan kelulusan dan sebagainya,” jelas beliau.

Katanya, jika tiada pihak yang dapat memberikan penjelasan mengenai projek ini, penduduk tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagi Farid Ishak, 37, mengapa projek tersebut tidak dibina di Jalan Pekan Nanas Ke Tanjung Piai yang kini merupakan kawasan digazetkan sebagai kawasan Perindustrian tanpa menganggu kesejahteraan penduduk kampung.

Katanya, sekiranya betul projek tersebut dibina mengikut saluran yang betul, tentu ada pembinaan jalan masuk dan keluar yang dibuat oleh pemaju bagi keselamatan pengguna jalan raya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×