Polisi baharu dadah lebih komprehensif, perikemanusiaan

Polisi baharu dadah lebih komprehensif, perikemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR 33 negara di dunia sudah menukar polisi dadah masing-masing yang berteraskan sains, hak asasi manusia dan dekriminalisasi.

Sudah sampai masanya, Malaysia mengikut jejak langkah sama dan menggubal dasar yang progresif, berasaskan bukti serta berperikemanusiaan.

Hal itu kerana, kaedah pemenjaraan bukan penyelesaian dalam isu penyalahgunaan dadah, sebaliknya, ia hanya menambahkan lagi kesesakan di penjara.

Berdasarkan rekod, kerajaan terpaksa berbelanja lebih RM109 juta sebulan untuk menampung kos pengurusan keseluruhan banduan yang menghuni di 47 penjara di seluruh negara.

Ia melibatkan jumlah RM50 sehari bagi seorang banduan yang merangkumi kos penyediaan peralatan,
kemudahan, perubatan, makanan, kawalan keselamatan, pengiringan, emolumen kakitangan dan perkara lain berkaitan.

Justeru, Pengarah Program Polisi Dadah, Yayasan AIDS Malaysia (MAF), N. Palani berkata, wujud keperluan untuk negara memperbaharui polisi dadah sedia ada termasuk memperkenalkan rawatan dan sokongan komprehensif berbanding hukuman penjara semata-mata.

Katanya, kaedah memerangi dadah di Malaysia ketika ini adalah dengan menggunakan kuasa undang-undang dan ia memberi kesan parah kepada rakyat kerana semakin lama, semakin ramai yang disumbat ke penjara hingga menyebabkan kesesakan.

“Yang kedua, tiada kedewasaan dalam sistem perundangan kita apabila semua pengguna dadah sama
ada secara eksperimental, sosial atau ketagihan dilayan sebagai ketagihan.

“Sedangkan hanya 10 hingga 20 peratus sahaja pengguna dadah adalah penagih dan bayangkan kesan terhadap kehidupan seorang remaja yang pertama kali mencuba mengambil ganja tetapi ditangkap serta dijatuhi hukuman pemenjaraan.

“Apabila masuk ke penjara atau pusat pemulihan secara dipaksa, dia akan hilang pendidikan, bahkan berkenalan dengan ramai penjenayah dan berkemungkinan ‘belajar’ untuk melakukan jenayah yang lebih besar,” katanya ketika ditemui dalam Bengkel Pembaharuan Polisi Dadah bersama Pengamal Media, baru-baru ini.

Antara panel dalam program sehari itu ialah Pengerusi MAF, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman; Pengarah Program Model Polisi Dadah di Universiti New South Wales, Prof. Dr. Alison Ritter dan Pengarah Klinikal Damai Wellness, Ashwin Thind.

Bengkel berkenaan bertujuan mendedahkan pengamal media dengan dasar semasa negara dan global di samping dekriminalisasi dadah serta menggalakkan penggunaan bahasa yang kurang stigma dan diskriminasi.

Menurut Palani, pembaharuan polisi juga penting bagi memberi peluang kedua kepada pengguna dadah agar tidak dicop sebagai penjenayah dan dapat memulakan kehidupan baharu.

Hal itu kerana golongan berkenaan didaftarkan mengikut Akta 7 (Akta Pendaftaran Penjenayah dan
Orang Tidak Diingini 1969).

“Seluruh dunia percaya tentang dekriminalisasi dan golongan itu memerlukan sokongan serta rawatan,
bukannya hukuman penjara,” katanya.

Dianggarkan 75,629 banduan menghuni di lebih 40 penjara di seluruh negara, sekaligus ia melebihi 71,476 kapasiti sedia ada.

Lebihan sebanyak 4,153 penghuni atau 5.8 peratus itu dikesan di 13 penjara termasuk Kota Kinabalu (Sabah), Pengkalan Chepa (Kelantan) dan Marang (Terengganu).

Kesesakan mengakibatkan kerajaan terpaksa menampung kos tinggi untuk makanan dan minuman, tidak termasuk perbelanjaan tambahan seperti ubat dan rawatan per ubatan.

 

KADAR JENAYAH PORTUGAL MENURUN
Portugal merupakan antara 33 negara yang melaksanakan pembaharuan polisi dadah dan ia terbukti memberikan impak positif.

Palani berkata, kadar jenayah dan HIV di negara berkenaan mencatatkan penurunan ketara, sekali gus berjaya mengatasi isu kesesakan di penjara.

“Bahkan, kes pengguna dadah baharu turut berkurangan dan impak positif ini membolehkan pihak polis menumpukan fokus serta sumber tenaga kepada jenayah lain yang lebih besar,” katanya.

Selain Portugal, langkah sama diambil negara-negara Eropah termasuk Switzerland dan Jerman.

 

ADA UNDANG-UNDANG LAPUK
Langkah menyumbat penagih ke penjara atau pusat serenti bukan kaedah berkesan.

Malah ada kajian membuktikan dalam masa enam bulan, 50 peratus penagih yang keluar dari pusat serenti akan kembali relaps.

Dr. Adeeba berkata, pembaharuan polisi disifatkan lebih berperikemanusiaan, berkesan dan berlandas sains di peringkat antarabangsa.

“Penagih boleh menjadi individu produktif jika diberikan rawatan serta sokongan yang komprehensif
dan holistik.

“Paling mustahak, golongan itu perlu dibantu untuk kembali bekerja sehingga mampu memiliki pendapatan di samping berada bersama keluarga,” katanya.

Dr. Adeeba yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Global Polisi Dadah menjelaskan, pendekatan ini
juga perlu dibuat dan bukan semata-mata memfokuskan pada rawatan perubatan sahaja.

Secara tidak langsung dapat memastikan golongan ini jadi lebih produktif dari segi ekonomi mereka.

“Sokongan daripada pelbagai pihak amat diperlukan bagi merealisasikan misi ini.

“Misalnya, memperluaskan program rawatan di bawah naungan Kementerian Kesihatan di samping
penglibatan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti,” katanya.

Pembaharuan polisi dadah tepat pada masanya kerana sebahagian undang-undang disifatkan sudah lapuk.

Malah, kata Dr. Adeeba, ada beberapa akta dan peruntukan digubal sebelum negara memiliki pemahaman jelas tentang bahan terlarang itu.

“Malaysia memiliki banyak undang-undang berkaitan dadah, jadi kita perlu perhalusi satu persatu daripadanya untuk mendapatkan pemahaman jelas dan menyeluruh.

“Contohnya, perbezaan antara individu yang menggunakan dadah buat kali pertama dengan seseorang
yang ketagihan di samping perspektif dari sudut perubatan,” katanya.

Tegas Dr. Adeeba, ketika ini tahap pemahaman rakyat makin baik dalam menangani isu penyalahgunaan dadah, malah masyarakat dilihat memahami kesan-kesan buruk dadah terhadap otak misalnya ganja dan heroin.

Lebih-lebih lagi ketagihan adalah masalah kesihatan dan ia tidak wajar didiagnosis menerusi ujian saringan air kencing sahaja.

 

HAPUS STIGMA, DISKRIMINASI
Stigma dan diskriminasi terhadap penagih menyukarkan golongan itu untuk berubah.

Pengarah Klinikal Damai Wellness, Ashwin Thind berkata, ia boleh wujud dalam pelbagai bentuk termasuk diri sendiri, keluarga, kawan-kawan, komuniti dan institusi.

“Misalnya, apabila berlaku kecurian di kawasan kediaman, orang pertama yang akan dituduh melakukan jenayah itu ialah penagih dadah.

“Selain itu, penagih biasanya dibotakkan rambut selepas keluar pusat serenti dan apabila pulang ke kampung, secara tidak langsung masyarakat tahu dia baru dibebaskan,” katanya.

Jelasnya, situasi itu turut membataskan peluang seseorang untuk memulakan kehidupan baharu.

Hal itu kerana, masyarakat cenderung menilai dan menghakimi kemampuan dan keupayaan mereka
dalam pelbagai segi termasuk pekerjaan.

“Tanpa disedari, kita hakikatnya meletakkan jangkaan tertentu pada bekas penagih dan tidak yakin untuk menyerahkan tugasan pada mereka,” katanya lagi.

Stigma dan ketakutan teruk mendorong individu berhenti meminta bantuan atau pertolongan.

Akhirnya, mereka berisiko kembali kepada aktiviti lama untuk mendapatkan ketenangan dan keseronokan.

 

GUNA BAHASA YANG LEBIH BAIK
Sementara itu, Jaringan Antarabangsa Orang Yang Menggunakan Dadah (INPUD) menggalakkan masyarakat menggunakan bahasa yang tidak menghakimi dan menyinggung perasaan pengguna dadah.

Antara tips boleh diberi perhatian ialah menegaskan konsep kemanusiaan dan menekankan nilai peribadi sama ada ketika menulis atau berbual.

Gunakan istilah yang menghormati pendirian seseorang dan elak meremehkan atau mensensasikan penggunaan dadah.

Penggunaan bahasa yang mudah difahami dan jangan membuat andaian terhadap keperibadian seseorang menerusi jargon perbuatan atau slanga juga boleh diamalkan.

Peka terhadap konteks bahasa digunakan agar tidak menimbulkan stigma jika digunakan oleh orang luar.

Elak merendahkan orang dan harga perspektif pengguna dadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×