Patut etika didik hibur menggunakan media sosial

Patut etika didik hibur menggunakan media sosial

KONSEP didik hibur dalam pempelajaran boleh menarik minat pelajar mendalami mata pelajaran dengan baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENDEKATAN didik hibur dalam pembelajaran bukan sahaja lebih menyeronokkan malah dapat membantu murid memahami dan mengingati maklumat dengan lebih baik. Ini kerana ia tidak hanya memfokuskan kepada penyampaian fakta dan konsep tetapi juga melibatkan interaksi sosial dan kreativiti. 

Situasi ini mungkin dianggap janggal oleh sebahagian rakyat sehingga pelbagai spekulasi diterbitkan. Kontroversi yang melibatkan guru dengan penggunaan media sosial di sekolah mendapat perhatian serius daripada Kementerian Pendidikan (KPM). Mana-mana guru yang menjadikan murid sebagai kandungan media sosial bagi tujuan peribadi bakal berdepan tindakan tegas dan tiada kompromoi terhadap sebarang isu pelanggaran garis panduan membabitkan murid dalam media sosial.

Justeru, guru dan murid perlu berhati-hati menggunakan media sosial ketika mengaplikasikan pedagogi didik hibur apatah lagi pendekatan ini mengandungi unsur kecindan dan mengetengahkan bakat murid yang boleh mengundang pelbagai persepsi.

Penggunaan media sosial bagi tujuan didik hibur perlu mematuhi dasar sekolah, melindungi keselamatan dan privasi murid atas talian. Keghairahan guru membuat kandungan media sosial seharusnya berorentasikan elemen pendidikan merentas masa, tempat dan sasaran, bukan untuk kepentingan peribadi. Apatah lagi, adalah menjadi satu kesalahan kepada guru menggunakan peranti peribadi seperti telefon bimbit untuk kepentingan diri semasa sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) berlangsung. 

Sikap ini sebenarnya telah melanggar Peraturan 4(2), di dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Tatakelakuan dan Tatatertib) 1993 agar para penjawat awam tidak membelakangkan tugas hakiki mereka demi kepentingan peribadi serta perlu menjaga nama baik profesion sebagai penjawat awam. 

Sesungguhnya elemen didik hibur mampu menyuntik minat belajar dalam kalangan murid. Menolak media sosial sepenuhnya semasa mengaplikasikan pendekatan didik hibur adalah satu tindakan yang tidak wajar. Guru dan murid perlu mematuhi garis panduan, nilai dan etika penggunaan media yang telah ditetapkan oleh KPM agar proses pembelajaran dapat diperkasakan demi kebaikan pendidikan semasa dan masa akan datang.-UTUSAN

ABD. AZIZ REKAN DAN HAFEEZUR-RAHMAN AWEL

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×