PETALING JAYA: Indeks harga seunit pasir merekodkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 2.6 peratus bagi kebanyakan kawasan pada April 2024 berbanding bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi adalah di kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (2.6 peratus), diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.2 peratus) serta Terengganu dan Kelantan (0.9 peratus).
Katanya, indeks harga seunit batu baur juga mencatatkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus hingga 0.8 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Perbandingan bulanan mencatatkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi besi bagi kebanyakan kawasan di semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-0.5 peratus) dan Tawau (-0.4 peratus) manakala peningkatan kecil di kawasan Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kota Kinabalu (0.5 peratus).
“Perbandingan bulanan turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di semenanjung, Sabah dan Sarawak namun terdapat sedikit peningkatan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.9 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, dalam perbandingan tahunan untuk tempoh April 2023 dan April 2024, indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 1.9 peratus hingga 7.1 peratus bagi hampir semua kawasan di semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi bagi simen adalah di kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (7.1 peratus), diikuti Terengganu dan Kelantan (5.7 peratus), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (4.4 peratus) serta Tawau (2.2 peratus).
“Indeks harga seunit besi pula mencatatkan sedikit penurunan antara 1.0 peratus hingga 5.6 peratus pada April berbanding bulan yang sama tahun lalu namun di Johor terdapat sedikit peningkatan sebanyak 0.7 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, purata harga simen (Ordinary Portland) kekal tidak berubah berbanding Mac dengan purata harga RM23.01 per 50 kilogram sekarung.
“Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan kecil (0.5 peratus) dengan purata harga RM3,702.88 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya iaitu RM3,683.51 bagi per tan metrik,” ujarnya.
Jelasnya, perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan pada April meningkat antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus bagi hampir semua kawasan di semenanjung.
“Namun, terdapat sedikit penurunan antara 0.1 peratus hingga 0.4 peratus bagi IKB termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan di Terengganu dan Kelantan.
“IKB termasuk bar keluli di Sabah juga menunjukkan peningkatan kecil iaitu antara 0.2 peratus dan 0.3 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu namun di Tawau mencatatkan penurunan kecil iaitu antara 0.1 peratus dan 0.2 peratus manakala di Sarawak menunjukkan indeks bagi semua kategori bangunan kekal tidak berubah,” katanya. – UTUSAN







