MADINAH: Pusat Rawatan Madinah yang kini mula beroperasi menyediakan perkhidmatan pakar untuk jemaah haji yang memerlukannya.
Pengarah Operasi Madinah (Perubatan), Dr. Mahyin Kudong berkata, antara pakar yang berkhidmat di pusat rawatan tersebut ialah pakar bius; kesihatan awam dan pakar dalam bidang yang membabitkan rawatan kecemasan.
“Mereka akan pantau dan kawal selia kesihatan jemaah haji di sana. Sekiranya berlaku sebarang kes kompleks, mereka rujuk pusat rawatan Madinah zon satu. Di sini kita ada dua pakar kecemasan, seorang pakar kesihatan awam dan seorang pakar bius.
“Pakar bius ini bertanggungjawab membuat pemantauan dan penyeliaan kalau ada jemaah haji kita yang perlu dirujuk ke hospital Arab Saudi,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Menurut Dr. Mahyin yang juga Penolong Pengarah Kesihatan Kanan Perlis, pusat rawatan itu turut dilengkapi kemudahan 33 katil termasuk wad pemerhatian kecemasan, wad lelaki dan wad wanita.
Selain itu katanya, pusat rawatan itu mempunyai fasiliti untuk perubatan kecemasan, unit X-ray dan unit ujian makmal asas dan perkhidmatan sokongan seperti fisioterapi serta pakar pemakanan.
“Kekuatan pasukan perubatan Tabung Haji adalah seramai 53 orang, melibatkan enam doktor pakar, 16 jururawat dan selebihnya pembantu perubatan selain petugas musim haji yang dilantik Tabung Haji,” katanya. – UTUSAN










