HULU SELANGOR: Pas menegaskan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli tidak boleh dipecat dengan sewenang-wenangnya selagi beliau tidak melanggari undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan atau negeri.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, seseorang tidak dibuktikan bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
Menurutnya, Pas tidak melakukan sebarang perbincangan berhubung kedudukan Mohd. Shukri sebagai Menteri Besar Perlis.
“Seseorang Menteri Besar tidak boleh dipecat dengan sewenang-wenangnya kecuali dia melanggar perkara-perkara yang ditetapkan oleh perlembagaan.
“(Sekiranya) seseorang itu muflis, didapati bersalah oleh mahkamah, dihukum penjara lebih 12 bulan, didenda lebih RM2,000 atau dia hilang majoriti. Itu sahaja sebab seorang Menteri Besar hilang jawatan,” katanya semasa ditemui pemberita, pada Majlis Pelancaran Manifesto Calon PN, Khairul Azhari Saut, hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan mengambil keterangan Mohd. Shukri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa.
Mohd. Shukri yang juga Pengerusi PN Perlis itu disiasat mengikut Seksyen 53(3) Akta SPRM dan disiasat hampir sembilan jam lalu kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Untuk rekod, sebelum ini SPRM juga mengesahkan sedang menyiasat seorang pemimpin politik kerana disyaki melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengan anaknya membabitkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, Pas terbuka dengan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN menjadi Menteri Besar.
“Kita di Perlis tidak ada Pas, tidak ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kita ada PN. Jadi siapa pun ADUN PN layak menjadi Menteri Besar sekiranya mendapat sokongan daripada parti.
“Kita ada 15 kerusi, kalau lebih dari separuh menghendak kepada mana-mana ADUN, ADUN itulah menjadi Menteri Besar,” ujarnya. – UTUSAN










