Adli mahu dapatkan sijil halal produk mi kuning - Utusan Malaysia

Adli mahu dapatkan sijil halal produk mi kuning

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perusahaan Rambah yang mengeluarkan produk mi kuning serta bebola dan kek ikan di bawah jenama Adli menyasarkan untuk mengembangkan pemasaran produknya di seluruh Johor dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pemiliknya, Mohd Adli Mohd Arif, 34, berkata, produknya kini dipasarkan di sekitar Pontian sahaja serta mereka yang membeli terus daripadanya dan diposkan.

Katanya, dalam masa terdekat ini, pihaknya akan menambah lagi pekerja untuk memasarkan produknya ke lebih banyak kedai dan juga ke Batu Pahat.

“Perniagaan ini sudah bermula daripada ayah saya sejak 30 tahun lalu dan saya telah mengambil alih pada 2016. Keistimewaan mi kuning kami dihasilkan tanpa kapur dan asid borix.

“Ini menjadikan rasanya lain daripada sesetengah mi kuning yang ada di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Adli berkata, syarikatnya juga telah memperkenalkan bebola dan kek ikan sejak setahun lalu dan mendapatkan sambutan yang baik dalam pasaran.

Menurutnya, 80 peratus daripada bahan untuk menghasilkan produk adalah isi ikan menjadikan rasanya lebih enak dan berkualiti.

“Mungkin agak sukar untuk mendapatkan produk bebola dan kek ikan yang dihasilkan oleh pengusaha Islam. Kami mahu beri keyakinan pembeli kami apabila menggunakan produk ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia berkata, pihaknya juga merancang untuk mendapatkan pensijilan halal dalam masa setahun hingga dua tahun ini.

“Untuk mendapatkan pensijilan halal perlulah melalui prosedur yang ketat. Buat masa ini, kami sedang melakukan penambahbaikan dari segi kilang dan sebagainya.

“Harapan kami memang untuk mendapatkan pensijilan halal. Memastikan produk yang makan itu halal adalah penting kerana ia menjadi darah daging kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×