US Pizza catat rekod outlet pizza tempatan bersijil halal terbanyak di Malaysia

US Pizza catat rekod outlet pizza tempatan bersijil halal terbanyak di Malaysia

KHAIRY Jamaluddin mengagihkan pizza percuma kepada pengunjung sempena majlis pengiktirafan US Pizza oleh Malaysia Book of Records di DPULZE Shopping Centre, Cyberjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: US Pizza mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas diiktiraf sebagai jenama pizza tempatan dengan outlet bersijil halal terbanyak di Malaysia.

Jenama pizza milik penuh rakyat Malaysia yang diasaskan di Pulau Pinang pada 1997 itu menerima pengiktirafan “Most HALAL-Certified Local Pizza Outlets in Malaysia” dalam satu majlis di DPULZE Shopping Centre, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif US Pizza, Deric Yeo berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar satu rekod, sebaliknya menjadi simbol kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama tempatan.

“Ramai yang masih menyangka US Pizza berasal dari Amerika Syarikat. Hakikatnya, kami adalah jenama Malaysia yang diasaskan di Pulau Pinang pada tahun 1997.

“Kami lahir di sini, berkembang di sini dan berbangga menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan industri makanan tempatan,” katanya.

KHAIRY Jamaluddin bersama Ketua Pegawai Eksekutif US Pizza, Deric Yeo menunjukkan pizza yang disediakan secara langsung sempena majlis pengiktirafan US Pizza sebagai jenama pizza tempatan dengan outlet bersijil halal terbanyak di Malaysia.

Majlis berkenaan turut dihadiri personaliti radio, usahawan dan bekas Menteri, Khairy Jamaluddin yang tampil sebagai tetamu khas.

Pada majlis itu, Khairy mengenakan pakaian chef dan bersama Deric menyediakan pizza secara langsung di atas pentas selain berinteraksi dengan pengunjung.

Khairy turut mengagihkan pizza percuma kepada orang ramai yang hadir sebagai sebahagian daripada sambutan pencapaian tersebut.

Menurut Deric, pengiktirafan MBOR itu adalah hasil komitmen berterusan syarikat dalam memastikan standard halal sentiasa dipelihara di seluruh rangkaian outletnya.

“Kami percaya setiap rakyat Malaysia berhak menikmati makanan dengan penuh keyakinan dan ketenangan.

“Pensijilan halal bukan sekadar satu keperluan perniagaan, tetapi satu tanggungjawab yang kami pegang sejak hari pertama,” katanya.

WAKIL US Pizza bersama sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records selepas jenama itu diiktiraf sebagai jenama pizza tempatan dengan outlet bersijil halal terbanyak di Malaysia.

Bersempena pencapaian itu, US Pizza turut melancarkan promosi khas Beli 1 Percuma 1 Pizza sehingga 31 Ogos 2026 sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan terhadap jenama tempatan tersebut.

US Pizza menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai pencapaian penting, namun bukan garisan penamat, sebaliknya dorongan untuk terus berkembang sebagai jenama pizza tempatan berteraskan inovasi, kualiti dan komitmen terhadap pensijilan halal.

“Tahniah ini bukan hanya milik US Pizza, tetapi milik semua pelanggan, pembekal, vendor, rakan perniagaan dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong kami. Ini adalah kejayaan jenama tempatan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN