Indeks kebebasan akhbar: Malaysia jatuh 34 anak tangga

Indeks kebebasan akhbar: Malaysia jatuh 34 anak tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia ja­tuh 34 anak tangga dengan kedudukan terkini di tempat ke-107 dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2024 kelolaan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) berbanding di tangga ke-73, tahun lepas.

Kedudukan itu sekali gus menyaksikan negara tidak lagi berada pada kedudukan tertinggi untuk negara ASEAN apabila dipintas oleh Thailand (87).

Menurut RSF, kejatuhan itu disebabkan tindakan kerajaan menyekat laman-laman berita yang mengkritik kerajaan.

Dalam senarai tersebut, Malaysia kini berada bersama kelompok negara seperti Maldives (106) dan Burundi (108).

Kedudukan bagi negara-negara lain di Asia Tenggara seperti berikut, Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).

Indeks RSF itu melibatkan 180 negara dan berperanan sebagai badan antarabangsa yang memantau kebebasan media di seluruh dunia.

Malaysia sebelum ini mencapai kedudukan terbaik di tangga ke-73 untuk tahun 2022, berbanding 113 pada tahun sebelumnya, sekaligus mencatatkan kedudukan ter­tinggi dalam kalangan negara ASEAN.

Namun kali ini, Thailand menunjukkan peningkatan pada tangga 87, sekali gus menjadikan ia sebagai negara dengan kebebasan media pa­ling tinggi di rantau ASEAN.

Laporan terbaharu itu berdasarkan penilaian landskap media sepanjang tahun 2023 dan ia adalah penilaian pertama mengenai kebebasan media di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Pihak berkuasa memburu wartawan penyiasatan dan raja-raja adalah subjek yang sangat sensitif, begitu juga perbincangan mengenai kaum dan agama.

Dalam kenyataan yang sama, RSF turut memberi cadangan supaya mempercepatkan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) sebagai badan kawal selia kendiri yang telus dan bebas.

“Ia mestilah bebas daripada campur tangan kerajaan, termasuk dalam mekanisme membuat keputusan dan sumber yang mencukupi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×