GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini mendakwa bekalan makanan mereka semakin berkurangan selepas berdepan ancaman gajah liar yang tidak berkesudahan sejak 2017.
Dakwa penduduk, pembukaan kawasan hutan secara berleluasa untuk aktiviti perladangan di kawasan berhampiran kampung menyebabkan haiwan liar itu mula keluar dari kawasan hutan bagi mencari makan.
Kata penduduk lagi, hampir setiap malam melihat kelibat dua hingga empat ekor gajah liar yang muncul untuk mengganggu serta merosakkan hasil tanaman seperti ubi kayu, pisang dan serai.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Mendrod, Sarudin Johari berkata, serangan gajah liar itu bermula sejak tahun 2017 lalu dan berterusan sehingga hari ini.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan penduduk tidak berani untuk ke kebun sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.
“Tanaman kami semua dimakan dan dirosakan oleh gajah tersebut. Kami di sini kawasan tanam ubi kayu umpama bagi gajah makan. Setiap pagi, kebanyakan penduduk takut untuk ke kebun menoreh getah kerana kerap kali terserempak dengan hidupan liar itu.
“Setakat ini ada kira-kira empat ekor gajah liar yang berkeliaran di kawasan kebun dan kampung sehingga memberi ketakutan kepada penduduk Orang Asli,” katanya. – UTUSAN










