PETALING JAYA: UUE Holdings Berhad (UUE) memeterai perjanjian pengunderaitan dengan M & A Securities Sdn. Bhd. (M & A Securities) untuk tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Menurut kenyataannya, IPO terdiri daripada terbitan awam sebanyak 124.9 juta saham biasa baharu dalam UUE dan tawaran untuk penjualan 37.4 juta saham UUE sedia ada.
Katanya, daripada 124.9 juta saham terbitan awam, 30.4 juta akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian dan 40.59 juta kepada pengarah, pekerja dan orang yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan UUE.
Sementara itu, 38.57 juta rizab persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan 15.32 juta melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Tawaran penjualan 37.46 juta saham UUE sedia ada akan diletakkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI.
Menurut perjanjian pengunderaitan, M & A Securities akan menaja jamin sejumlah 71 juta saham terbitan awam iaitu bahagian saham terbitan awam yang disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian serta kepada orang yang layak.
“Hasil daripada IPO akan digunakan untuk membiayai pembelian mesin dan peralatan seperti mesin penggerudian arah mendatar (HDD), lori dan jengkaut untuk menampung projek yang sedang berjalan dan masa depan sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan masa depannya.
“Terutamanya, syarikat juga akan memperoleh mesin HDD pelantar maxi yang akan membolehkan kumpulan meneroka kerja HDD dasar laut, mengembangkan penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah sedia ada.
“Baki hasil kasar telah diperuntukkan untuk modal kerja am serta anggaran perbelanjaan penyenaraian berhubung dengan IPO,” katanya.
Pengarah Urusan UUE, Datuk Kenny Ting berkata, pelaksanaan perjanjian pengunderaitan dengan M & A Securities mewakili pencapaian penting dalam perjalanan kami ke arah penyenaraian kami di Pasaran ACE Bursa Securities.
“Perolehan daripada IPO akan memainkan peranan penting dalam memacu usaha pengembangan kami, membolehkan kami meningkatkan dan melanjutkan perkhidmatan kami kepada pelanggan semasa dan bakal pelanggan kami di seluruh Malaysia dan Singapura.
“Kami merakamkan rasa terima kasih yang mendalam kepada M&A Securities atas keyakinan mereka terhadap kumpulan kami dan atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang proses IPO kami,”
M & A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk latihan IPO ini.-UTUSAN










