F&N peruntuk RM1.7 bilion capex  bagi ladang tenusu di Gemas

F&N peruntuk RM1.7 bilion capex  bagi ladang tenusu di Gemas

Lim Yew Hoe (kanan) pada majlis taklimat Hasil Kewangan Separuh Tahun Pertama di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd.  (F&N) memperuntukkan  perbelanjaan modal (capex) RM1.7 bilion meliputi kos tanah dan infrastruktur untuk fasa satu ladang tenusu di Ladang Permai Damai di Gemas, Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, F&N menyasarkan projek ladang tenusu itu mencapai pulangan modal dalam tempoh tiga tahun dan pemerahan susu pertama dijangka pada 2025.

“F&N telah memilih kumpulan pertama lembu tenusu mengikut jadual untuk memenuhi tarikh sasaran pemerahan susu pertama ladang pada awal tahun 2025,” katanya pada taklimat  Hasil Kewangan Separuh Tahun Pertama F&N di sini, semalam.

Katanya, F&N akan mula membawa sebanyak 2,000 ekor lembu yang mempunyai kapasiti pemprosesan susu menghasilkan 100 juta liter setiap tahun. 

“Ladang tenusu yang meliputi kawasan seluas 2,726 hektar itu akan digunakan penanaman jagung untuk menjadi bekalan makanan utama untuk lembu,” ujarnya. 

Beliau berkata, F&N juga menjangkakan untuk mengeksport tenusu itu ke negara lain seperti Singapura dan Kemboja selepas tiga tahun operasinya serta ingin menyertai program bantuan makanan persekolahan pada masa akan datang. 

“Jadi, pada permulaan untuk dua hingga tiga tahun pertama, kami memberi tumpuan kepada Malaysia, Singapura dan Kemboja,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata F&N mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM165.7 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, meningkat 62.5 peratus berbanding RM102 juta pada suku sama tahun lepas. 

Jelasnya, keuntungan yang lebih tinggi diperoleh walaupun disederhanakan oleh kos faedah yang lebih tinggi dan perbelanjaan cukai.

“Kumpulan mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 12.1 peratus kepada RM1.35 bilion, berbanding RM1.20 bilion pada suku sama tahun lepas.

“Prestasi itu didorong oleh momentum berterusan F&B Malaysia dan Thailand, jualan perayaan di Malaysia serta kadar tukaran asing yang menggalakkan berikutan baht Thailand yang lebih kukuh,” katanya. 

Tambahnya, segmen makanan dan minuman (F&B) Malaysia mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 11.3 peratus kepada RM787.7 juta bagi suku kedua, didorong oleh jualan awal untuk sambutan Hari Raya.

“Sementara itu, F&B Thailand mencapai pertumbuhan hasil sebanyak 13.2 peratus (10.4 peratus pada kadar tukaran tetap) kepada RM563.8 juta bagi suku kedua, didorong terutamanya oleh peningkatan eksport ke Indochina dan negara-negara lain serta kadar tukaran asing yang menggalakkan,” katanya. 

Jelasnya, hasil kumpulan bagi separuh pertama turut meningkat 10.7 peratus kepada RM2.68 bilion berbanding RM2.42 bilion pada tempoh sama tahun lalu,  manakala keuntungan selepas cukai kami pula dicatatkan sebanyak RM335.9 juta, meningkat 12 peratus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×