SHAH ALAM: Lelaki yang mencuri beg seorang wanita mengandung dekat sebuah pasar raya pada Isnin lalu dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Majistret Farah Rosnan menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 22, selepas pekerja pemasaran produk penapis air itu mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan keatasnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, tertuduh turut dikenakan denda RM1,500 dan tambahan penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan mangsa yang sarat mengandung sembilan bulan anak ketiga kini dilaporkan stabil dan masih belum lagi melahirkan anak.
“Keadaan ibu dan anak dalam kandungan adalah stabil dan dibenarkan pulang ke rumah terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan nekad mengejar pencuri beg sandangnya yang dilarikan seorang lelaki ketika sedang menggunakan tandas dekat sebuah pasar raya di Seksyen 23, di sini.
Dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 37 tahun dikatakan mengejar suspek kira-kira 50 meter dari tandas sehingga ke pintu masuk pasar raya berkenaan.
Mohd. Iqbal memberitahu, mangsa ketika itu berkunjung ke pasar raya tersebut untuk membeli barangan persiapan bersalin seorang diri.
“Mangsa sarat mengandung sembilan bulan anak yang ketiga. Semasa mangsa berada di tandas wanita menyedari beg sandangnya yang di sangkut di pintu tandas dilarikan oleh suspek.
“Dia kemudian bergegas keluar daripada tandas dan bertindak mengejar serta menjerit meminta bantuan orang ramai yang berada di sekitar untuk menangkap suspek,” jelasnya. – UTUSAN










