SAUDARA PENGARANG,
BAGI menangani masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan berkesan, satu pendekatan yang berani dan tegas amat diperlukan. Ini termasuk kerajaan memberi tempoh selama setahun kepada individu yang terlibat dengan rasuah untuk mengembalikan segala harta yang diperoleh secara tidak sah kepada kerajaan, tanpa mengira bentuknya.
Langkah ini penting bagi memulihkan integriti institusi dan menegakkan keadilan dalam masyarakat. Tindakan tegas seperti ini merupakan amaran kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti rasuah untuk mengubah perilaku.
Dalam tempoh setahun ini, peluang akan diberikan kepada perasuah untuk memperbaiki kesilapan dan membuat keputusan yang bermoral dengan mengembalikan apa yang menjadi hak milik kerajaan. Tindakan ini juga membolehkan pihak berkuasa meneliti sejauh mana harta yang diperoleh secara tidak sah telah tersebar, serta mengambil langkah yang sesuai untuk mengembalikannya kepada kerajaan.
Ini bukan hanya memperbetulkan kesilapan tetapi juga menegakkan keadilan dan integriti dalam sistem. Kesediaan untuk bertindak demi kepentingan bersama menandakan komitmen kepada prinsip keadilan dan ketelusan.
Selepas tamat tempoh satu tahun, langkah tegas menjadi keperluan. Individu yang terus menolak untuk mengembalikan harta berhadapan dengan hukuman yang lebih berat. Ini termasuk tempoh pemenjaraan yang lebih panjang dan hukuman sebatan bagi yang terbukti bersalah.
Tindakan ini penting dalam menyampaikan pesanan nyata bahawa kerajaan tidak akan menggalakkan amalan rasuah. Langkah-langkah keras ini bukan sahaja bertujuan memulihkan keadilan, tetapi juga membentuk masyarakat yang lebih bersih dan berintegriti.
Mesejnya jelas daripada program pengampunan ini ialah amalan yang tidak jujur tidak akan diampuni.
Kita tidak boleh terus membenarkan perasuah merosakkan sistem dan melanggar keadilan.
Kita tidak boleh lagi duduk diam dan membenarkan perasuah merosakkan masa depan negara kita. Dengan tawaran pengampunan yang disediakan, diikuti dengan tindakan tegas, kita mampu bersama-sama membersihkan sistem dan membentuk sebuah negara yang bebas dari amalan rasuah.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










