Larang beri bantuan, peruntukan sepanjang pilihan raya

Larang beri bantuan, peruntukan sepanjang pilihan raya

JENAYAH rasuah sukar untuk dibendung dalam negara kita kerana rata-rata orang ramai masih keliru dengan maksud rasuah itu sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA  perlu mengambil satu langkah drastik bagi memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa khususnya ketika pilihan raya.

Sebarang jenis pemberian bantuan serta peruntukan oleh mana–mana pihak yang mempunyai kaitan dengan mana–mana parti politik dan proses pilihan raya harus dilarang sama sekali bagi mengelakkan tanggapan, persepsi ataupun terlibat secara terus dengan sebarang jenis jenayah atau salah laku seperti rasuah dan salah guna kuasa.

Larangan ini harus meliputi semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang. Larangan ini harus dikuatkuasakan secara tegas sepanjang proses pilihan raya sehingga ia selesai. 

Tindakan tegas harus diambil terhadap pihak yang didapati melanggar ketetapan ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bekerjasama dan duduk berbincang bagi meneliti cadangan ini dengan lebih teliti untuk diberi pertimbangan serius. 

Terus terang dikatakan, jenayah rasuah sukar untuk dibendung dalam negara kita kerana rata-rata orang ramai masih keliru dengan maksud rasuah itu sendiri. Sungguh pelik, tiap kali munculnya proses pilihan raya, maka muncullah dengan secara tiba–tiba pengumuman pemberian bantuan dan peruntukan. 

Orang ramai pun sudah menganggap perkara ini sebagai satu kebiasaan dan bukannya satu kesalahan. Ini harus dihentikan dengan segera. Sebarang jenis pemberian bantuan dan peruntukan hanya boleh dilakukan sebelum proses pilihan raya dijangka ataupun selepas proses pilihan raya selesai dilaksanakan sepenuhnya.

SPRM dan SPR perlu mengeluarkan senarai  jenisk rasuah yang boleh berlaku sepanjang tempoh proses pilihan raya dengan lebih terperinci. 

Orang ramai juga perlu memberi kerjasama kepada SPRM untuk membendung aktiviti rasuah dan salah guna kuasa sepanjang proses pilihan raya. Orang ramai perlu melaporkan dengan segera kepada SPRM atau pihak polis terhadap mana–mana pihak yang didapati menawar, memberi, menerima rasuah atau salah guna kuasa beserta dengan bukti yang kukuh.-UTUSAN

PROFESOR. MADYA. DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×