PUTRAJAYA: Kes demam denggi dilaporkan meningkat kepada 2,321 kes pada Minggu Epidemiologi ke-16 (ME16) iaitu bagi tempoh 14 April hingga 20 April lepas berbanding 1,698 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, daripada angka tersebut, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 adalah sebanyak 52,887 kes berbanding 36,977 kes bagi tempoh sama tahun 2023.
“Terdapat 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME-17 adalah sebanyak 63 lokaliti berbanding 80 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
“Daripada 63 lokaliti yang dilaporkan, 51 lokaliti di Selangor, empat lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga lokaliti di Pulau Pinang, dua lokaliti Perak, dua lokaliti di Kedah dan satu lokaliti di Sarawak,” ujarnya.
Bagi survelan chikungunya pula, Muhammad Radzi berkata, tiada kes direkodkan pada ME-17.
“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 23 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME17.
“Bagi survelan zika, sebanyak 850 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan kendiri dengan memakai pakaian yang berwarna cerah, baju berlengan panjang dan berseluar panjang serta menggunakan produk penghalau nyamuk (repelan) bagi melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes,” ujarnya. – UTUSAN










