JERANTUT: Peranan bandar kecil yang merupakan transit pelancong dari seluruh dunia termasuk pelawat domestik ke Taman Negara untuk berekreasi dan mencari ketenangan menjadikan daerah ini paling bahagia berasaskan Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024.
Bandar ini dinobatkan sebagai lokasi bagi pengunjung mencari ketenangan dan pengalaman berasaskan alam sekitar, makanan dan budaya setempat sekali gus menepati ciri kajian Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Haris Salleh Hamzah berkata, hubungan antara kaum-kaum Melayu, Cina, India serta Orang Asli etnik Jahut dan Bateq yang berurusan di bandar ini termasuk asimilasi budaya turut menyatukan kehidupan lebih bahagia.
“Sekiranya seorang pengunjung singgah di bandar ini yang tidak sibuk dengan laluan kenderaan, mungkin mereka akan teruja dengan suasana kedamaian di sini di samping menginap di hotel dan inap desa lebih tenang dan bahagia khususnya tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak termasuk makanan.
“Dalam sektor perniagaan berasaskan sumber pertanian, produk kampung wujud saling membantu serta amalan kerja yang bersungguh-sungguh untuk mencari sumber pendapatan dan pada masa sama membantu dari segi pemasaran menerusi bantuan agensi dalam bidang berkenaan,” katanya di sini.
Haris Salleh yang juga pengamal undang-undang berkata, beliau difahamkan bandar Jerantut dilaporkan mempunyai indeks kes jenayah paling rendah termasuk penyalahgunaan dadah berikutan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak beberapa tahun lalu.
“Penduduk dan pengunjung bebas bergerak sepanjang masa tanpa bimbang gangguan tertentu dan kehidupan di bandar dan berdekatan lebih kondusif apabila dapat menikmati suasana keselamatan terkawal, kebersihan persekitaran bandar serta dapat menikmati makanan tempatan yang enak sepanjang masa,” katanya.
Bercerita tentang makanan, beliau menjelaskan masakan tempatan berasaskan campuran ikan liar seperti patin, tilapia, kenerak dan lawang dengan tumbuhan kampung menarik ramai pengunjung termasuk keluarga masing-masing ke bandar ini bagi menikmati kelazatan juadah di sini. – UTUSAN











