KUANTAN: Kerajaan perlu segera mewujudkan badan bagi mengawal selia keseluruhan komuniti ekonomi gig di negara ini dan tidak hanya tertumpu kepada e-hailing dan p-hailing sahaja.
Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Gig Komuniti UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ekonomi gig merupakan bidang yang luas merangkumi e-hailing, p-hailing, pekerja bebas, pemuzik, pereka grafik, jurugambar perkahwinan, penulis dan penganalisis kandungan, pengurus media sosial, akauntan bebas, penyunting video dan pengaturcara.
“Kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2024, semalam yang mahu penubuhan suruhanjaya khusus untuk penggiat ekonomi gig dapat dipercepatkan bagi membela nasib dan kebajikan pemain sektor itu.
“Pihak sekretariat harap ia disegerakan dan melihatkan secara keseluruhan komuniti ekonomi gig. Ia perlu menyeluruh dan tidak hanya mengikut ‘selera’ kementerian terbabit atau pihak-pihak tertentu sahaja.
“Saya baru pulang dari United Kingdom (UK), negara luar belum melaksanakan perkara ini dan Malaysia boleh menjadi contoh negara pertama membeli seluruh penggiat ekonomi gig. Singapura pun sudah merancang memperkenalkan undang-undang dan perlindungan penting kepada penggiat gig mereka,” katanya di sini hari ini.
Semalam, ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Anwar mahu penubuhan suruhanjaya khusus untuk ekonomi gig dipercepatkan bagi membela nasib dan kebajikan pekerja sektor itu.
Sebelum ini, Anwar pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) berkata, Suruhanjaya Pekerja Gig akan ditubuhkan bagi melindungi hak penggiat ekonomi GIG yang bilangannya kini sudah mencecah 1.12 juta rakyat, terutama dalam kalangan anak-anak muda.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, keutamaan suruhanjaya berkenaan adalah memberikan keperluan sosial, pertikaian kontrak dan kemajuan kerjaya membabitkan pekerja ekonomi gig yang semakin rancak di negara ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, ekonomi gig perlu diperincikan daripada sudut insentif seperti skim bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), insurans, kenderaan, penyelenggaraan kenderaan dan kebajikan lain.
Jelasnya, langkah itu perlu dilakukan bagi menjaga keselamatan penggiat ekonomi gig dan ia perlu disusuli dengan insentif peningkatan melalui latihan serta bimbingan.
“Kita sekali lagi berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudah dua kali menyentuh tentang keperluan mewujudkan badan kawal selia penggiat ekonomi gig. Ia bukti kerajaan serius membela nasib lebih 1.12 juta penggiat industri ini,” katanya. – UTUSAN










