Terpaksa berpindah akibat tidak tahan hidu asap tebal

Terpaksa berpindah akibat tidak tahan hidu asap tebal

SURI Othman menunjukkan pusat pelupusan sampah yang terbakar berdekatan rumahnya di Kampung Sungai Ikan, Tepoh, Kuala Nerus. – UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kebakaran pusat pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan dekat Tepoh sejak Jumaat lalu menjejaskan kehidupan penduduk yang tinggal berdekatan.

Mereka mendakwa asap tebal berpunca daripada kebakaran itu mengakibatkan tahap kesihatan terjejas terutama kanak-kanak dan warga emas yang mula mengalami gejala batuk dan sakit tekak.

Suria Othman, 44, berkata, dia dan suami, Zahari Ismail, 48, juga terpaksa membawa tiga orang anak berusia 10 sehingga 24 tahun berpindah kerana tidak tahan hidup dalam asap tebal.

Menurutnya yang tinggal 200 meter dari pusat pelupusan sampah, keadaan itu turut menyebabkan aktiviti harian terganggu dan bimbang api akan merebak ke kawasan penempatan mereka.

“Sudah empat malam saya bermalam di rumah sementara disediakan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tidak tahan menghidu bau asap tebal dan ini kejadian terburuk sejak puluhan tahun lalu.

“Lebih membimbangkan apabila tahap kesihatan mula terjejas dengan anak-anak dan suami mula mengadu sakit dada serta mengalami batuk-batuk sejak beberapa hari lalu.

“Disebabkan asap sudah masuk ke dalam rumah, saya tidak boleh memasak sehingga terpaksa berbelanja lebih membeli makanan di luar selain berulang-alik setiap hari memeriksa haiwan ternakan,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Sementara itu pekerja kilang kayu, Zulkifli Salleh, 54, terpaksa membawa enam ahli keluarga termasuk cucu berusia satu, empat dan lima tahun bermalam di rumah kongsi tempat dia bekerja.

Lelaki itu mendakwa, asap tebal dari kebakaran di pusat pelupusan sampah itu akan memburuk bermula tengah hari dan berlarutan selama beberapa jam sehingga mengehadkan jarak penglihatan.

“Saya tiada pilihan selain membawa keluarga bermalam di rumah kongsi kerana risau tahap kesihatan cucu merosot lebih-lebih lagi mereka ada sejarah sakit lelah,” ujarnya.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, pusat pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan yang berkeluasan lapan hektar terbakar 75 peratus sejak Jumaat disyaki berpunca daripada cuaca kering dan panas berterusan.

Dalam operasi semalam, 23 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi pemadaman api membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×