SERDANG: Masyarakat di negara perlu menjaga dan mempertahankan keharmonian agar segala dasar serta perancangan kerajaan untuk mengukuhkan kembali ekonomi negara dapat berjalan dengan lancar.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, mutakhir ini isu perkauman kembali dimainkan oleh sesetengah pihak untuk meraih populariti.
Beliau berkata, sejak kemerdekaan, keharmonian kepelbagaian kaum telah menjadi identiti negara kita dan dicemburui oleh negara luar.
“Saya sendiri berpengalaman berdepan dengan isu ini sejak tahun 1967 ketika saya di sekolah rendah dan menengah. Kemudian isu ni kembali berkumandang pada tahun 1987.
“Kalau saya ceritakan kisah ini tentulah panjang tetapi apa yang saya mahu tegaskan di sini adalah kita diajar oleh agama supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan (fastabikhul khairat).
“Justeru itu marilah sama-sama kita mempertahankan keharmonian ini supaya segala perancangan untuk mengukuhkan kembali ekonomi negara dapat berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil sepertimana yang rakyat harapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat dan Sambutan Mesra Aidilfitri 2024, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Lokman Ali dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.
Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah menyeru agar semua rakyat agar bersatu padu.
“Saya juga ingin menyeru kepada semua warga KPKM supaya kita semua bekerja sebagai sebuah pasukan. Kerja sepasukan teras kejayaan, perpaduan adalah tiang keharmonian,” katanya. – UTUSAN










