SERDANG: Malaysia mengimport sebanyak RM78.7 bilion makanan yang mencatat defisit tertinggi berbanding nilai eksport sebanyak RM46.38 bilion, tahun lalu.
Sehubungan itu, kerajaan berusaha mengurangkan defisit agar pengaliran keluar wang negara dapat dikurangkan serta tidak membazir.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, agromakanan memberikan sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) iaitu 11.6 peratus walaupun berhadapan cabaran mengurangkan jurang antara import dan eksport sektor itu.
Beliau berkata, pertumbuhan agromakanan dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan pada 2023 telah meningkat 4.3 peratus kepada RM181.4 bilion berbanding RM173.9 bilion pada 2022.
Justeru, jelasnya, kementerian berusaha mengurangkan defisit perdagangan agromakanan negara dalam tempoh yang terdekat dengan memulakan pengeluaran bawang merah, mengeksport durian segar ke China.
“Kementerian juga sedang giat meneroka pasaran baharu di luar negara. Insya-Allah dalam tempoh terdekat ini, saya akan ke Rusia untuk meneroka potensi baharu bagi pasaran agromakanan negara.
“Sama-samalah kita berdoa agar misi ini akan mencapai kejayaan sepertimana harapkan,” katanya ketika menyampaikan amanatnya dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri kementeriannya di sini, hari ini.
Mohammad Sabu menegaskan, Malaysia telah mencatat jumlah pembaziran makanan paling tinggi di dunia.
“Dilaporkan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa sebanyak 12,000 tan makanan dibuang setiap hari di negara ini.
“Ini adalah rekod yang agak tinggi bagi negara di dunia ini,” katanya.
Beliau menambah, rakyat Malaysia tidak seharusnya melupakan nasib rakyat Palestin yang sedang diuji dengan peperangan, kesusahan dan kelaparan semasa keghairahan menyambut Syawal.
“Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan juga kepada semua agar meraikan Syawal dengan penuh kesederhanaan sebagai tanda solidariti kita kepada Palestin serta kepada negara-negara lain yang sedang diuji dengan kesusahan dan kelaparan,” ujarnya. – UTUSAN










