SEOUL: Korea Utara mendakwa ancaman yang ditimbulkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menjadi punca ujian peluru berpandu dilancarkan baru-baru ini.
Penasihat Utama Presiden, Ri Pyong Chol berkata, provokasi dari kedua-dua negara itu mengadakan latihan ketenteraan bersama dan persenjataan menyebabkan Korea Utara terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kami menyatakan kekhuatiran mendalam terhadap Ketua Eksekutif AS yang menyalahkan ujian peluru berpandu serta pelaksanaan hak negara untuk mempertahankan diri yang dituduh melanggar resolusi PBB secara terang-terangan mencetuskan permusuhan yang mendalam,” katanya.
Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik di perairan Jepun yang bergerak sekitar 420 kilometer (km), diikuti 20 minit kemudian yang bergerak sejauh 430 km, minggu lalu.
Jepun menjelaskan tiada serpihan peluru berpandu yang jatuh ke dalam kawasan perairannya dan pada masa sama Pyongyang dihalang melakukan ujian tersebut berdasarkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ri malah menjelaskan negara itu sama sekali tidak bermaksud membangunkan senjata untuk menarik perhatian seseorang atau mempengaruhi polisi negara mereka.
“Saya rasa pentadbiran baharu AS secara jelas mengambil langkah yang salah,” katanya.
Beliau turut mendakwa Biden mengeksploitasi setiap peluang untuk melakukan provokasi terhadap Pyongyang dengan menyifatkan sebagai ancaman keselamatan.
Ujian itu dilakukan hanya beberapa hari selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berjanji akan berusaha melakukan pelucutan senjata nuklear Korea Utara dan mengkritik pelanggaran hak asasi manusia yang ‘sistemik dan meluas’ semasa lawatan ke Seoul dengan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin.
Korea Utara turut membidas latihan ketenteraan Korea Selatan-AS yang berakhir minggu lalu, walaupun berulang kali dikurangkan untuk memudahkan rundingan pelucutan senjata nuklear dengan Pyongyang. -REUTERS










