BANYAK rupanya kedai menyediakan hidangan sarapan pagi menarik yang lain daripada lain di Selangor ini. Berikut top 10 kedai makan yang boleh kita cuba:
1. ROTI LELEH BATU ARANG, SELAYANG
Hidangan roti lembut dibakar atas arang yang dimakan bersama telur separuh masak, kicap manis dan kacang merah menjadikan menu ini terkenal dalam kalangan pelanggan.
Sajian sarapan ringkas yang unik dan lazat menjadikan restoran ini kegemaran dan destinasi utama bagi kalangan penunggang basikal untuk singgah berehat.
2. KAMPUNG HILLS EATERY, KUALA LANGAT
Menawarkan pelbagai hidangan unik bertemakan barat dengan suasana kampung menjadikan restoran ini pilihan penduduk tempatan yang mahukan kelainan.
Antara sajian sarapan utama yang disediakan adalah nasi lemak, sandwic bakar dan sandwic croissant serta masakan goreng yang lain.

3. MAK O MAK CAFE, TAMAN MALAWATI
Kafe autentik ini menyajikan masakan tempatan dan barat seawal 8 pagi ini sesuai bagi peminat kopi dan roti bakar pelbagai pilihan.
Saiz hidangannya yang besar dengan harga berpatutan memberikan kepuasan kepada setiap pelanggan yang datang ke sini.
4. TINGKAP CAFE OLDTOWN, PETALING JAYA
Estetika kopitiam lama tradisional yang mampu menggamit memori zaman 50an bagi pelanggan yang berkunjung.
Pelbagai menu pada harga yang berpatutan ada di sini, antaranya sate beraroma, roti jala, lontong, mi rebus, lempeng kelapa dengan sambal ikan bilis dan laksa kari.
5. FINO COFFEE, KLANG
Menu seperti big breakfast, roti bakar ayam goreng percik dan roti bakar manis dengan buahan beri yang ditawarkan sepanjang hari memberikan variasi hidangan sarapan tanpa mengira waktu.
Turut ditawarkan adalah minuman unik seperti matcha dan houjicha cuba, seperti kacang merah matcha dan coklat houjicha khusus bagi peminatnya yang tersendiri.

6. ROTI CANAI KARI KAMBING, SUNGAI BESAR
Gabungan roti canai rangup di luar, lembut di dalam bersama kari kambing unik sememangnya menjadi kegilaan warga setempat selain tarikan pengunjung ke Sabak Bernam.
Bagi yang mencari juadah berbeza, restoran ini turut menyajikan sarapan tradisional Melayu lain seperti pulut sambal, nasi lemak dan kuih-muih.

7. CHAR KUEY TEOW AUNTY GEMUK, KELANA JAYA
Salah satu kedai terbaik di Lembah Klang menyajikan hidangan kuey teow yang cukup rasa pedas dan manisnya.Menawarkan harga berpatutan RM4.50 sepinggan menjadikan kedai sarapan tersebut kegemaran orang ramai.
8. BREAKFAST ROOM, BUKIT JELUTONG
Menyediakan hidangan sarapan bertemakan barat klasik seperti English muffin dan sandwic, digabungkan pula bersama kopi dan teh yang memberikan kelainan terutama bagi peminat menu sarapan ala mat saleh.
Suasana kafe yang selesa dan nyaman sesuai untuk pelanggan yang ingin mendapatkan ketenangan semasa menjamu selera.

9. RESTORAN UBI KAYU, SUBANG JAYA
Restoran sarapan dengan hidangan tradisional Melayu seperti roti jala dengan kari ayam, asam laksa, mi rojak, soto, lontong, nasi lemak pandan, mi kari dan pelbagai jenis kuih tradisional dengan harga 50 sen.
Merupakan restoran yang terkenal dalam kalangan penduduk tempatan kerana menyajikan variasi menu sarapan berkualiti dengan harga yang berpatutan.
10. ROTI CANAI PELANGI, KUALA SELANGOR
Hidangan unik roti canai pelangi pelbagai perisa disajikan bersama pilihan kari daging kambing, kari daging lembu dan kari kaki ayam. Hidangan lain seperti nasi ambeng, pecal, laksa dan lontong yang beroperasi menggunakan sistem layan diri.











