Bantah Akta Laut Wilayah 2012 di Parlimen - Utusan Malaysia

Bantah Akta Laut Wilayah 2012 di Parlimen

ROZI Mamat (tiga dari kanan) bergambar bersama pemimpin UMNO Bahagian Kuala Terengganu pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat UMNO Bahagian Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu menyarankan lapan Ahli Parlimen daripada Pas di negeri ini menyuarakan bantahan terhadap Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) di Dewan Rakyat.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, Ahli Parlimen tersebut boleh menarik perhatian Dewan Rakyat berhubung ketidakpuasan hati mereka terhadap akta berkenaan.

Menurutnya, akta tersebut telah lama diluluskan di Parlimen pada tahun 2012 tetapi tidak pernah dipertikaikan dalam kalangan Ahli Parlimen sebelum ini.

“Ahli Parlimen dari Terengganu sepatutnya cabar Akta Laut Wilayah Pantai Timur di Parlimen sebab mereka Terengganu ramai di dewan tersebut.

“Mereka perlu bercakap di Parlimen, sebab (Akta Laut Wilayah 21012) ini telah diluluskan di Parlimen dulu dan tindakan itu adalah lebih efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat UMNO Bahagian Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Pada 25 April lalu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai.

Pada sidang DUN Terengganu, baru-baru ini, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana membataskan hak negeri menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Terengganu.

Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Rozi berkara, UMNO Terengganu juga berpandangan kerajaan negeri perlu mengadakan perundingan untuk menyelesaikan kemelut bayaran royalti minyak atau wang ihsan untuk kepentingan rakyat Terengganu.

Katanya, keadah diplomasi itu perlu dilakukan kerana sebelum ini, UMNO Terengganu ketika menerajui negeri ini juga sering mengadakan rundingan bagi menyelesaikan isu royalti minyak atau wang ihsan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Pada masa ini juga UMNO masih meneruskan perjuangan supaya agihan sumbangan Kerajaan Persekutuan sampai ke rakyat Terengganu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×