HULU SELANGOR: Pakatan Harapan (PH) Selangor enggan menjadikan insiden penahanan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli sebagai modal kempen mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebaliknya PH akan menggunakan kejayaan dan sumbangan yang dilakukan oleh penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, mendiang Lee Kee Hiong sebagai sandaran kempen.
Malah, menurutnya, PH juga akan mengenengahkan kebolehan dan sebarang kemampuan yang dilaksanakan oleh calon, Pang Sock Tao sekiranya memenangi PRK Kuala Kubu Bharu.
“(Perkara ini) juga akan disokong kuat dengan rangkaian program kebajikan dan pembangunan kerajaan negeri.
“Itu kekuatan kita daripada bergantung dengan isu-isu sensasi yang kadang-kadang boleh menjatuhkan aib malahan membuat konklusi terlalu awal terhadap insiden (yang berlaku),” katanya ketika ditemui pada Sambutan Raya Anak Muda di Bandar Baru Batang Kali, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mohd. Shukri disiasat selama sembilan jam di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Beliau dipercayai disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung isu salah guna kuasa membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Mengulas lanjut, Amirudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak itu berkata, beliau enggan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden yang dihadapi oleh Mohd. Shukri.
Jelasnya, semua pihak juga perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Saya tak nak menghukum beliau yang juga saya kenali secara peribadi. Sebelum ini kita dengar mengenai anak beliau dan sekarang siasatan merebak kepada beliau (Mohd. Shukri), jadi biar pihak berkuasa menjalankan tugas.
“Ini satu ingatan kepada saya dan kepada semua yang memegang amanah supaya lebih berhati-hati serta menjaga integriti termasuk menjamin tindakan yang dibuat tidak melanggar tata kelola pentadbiran,” ujarnya. – UTUSAN










