Peluang juara hoki berganda tak mudah

Peluang juara hoki berganda tak mudah

Pemain skuad hoki kebangsaan menjalani latihan menjelang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang akan membuka tirai pada Sabtu ini di Stadium Azlan Shah, Ipoh. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya berbaki tiga hari sebelum kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak yang bakal membuka tirai pada Sabtu ini, skuad hoki kebangsaan ketika ini giat menekankan aspek taktikal.

Tambah tonggak tengah Speedy Tigers, Fitri Saari, ca­baran untuk pasukan baharu kali ini lebih mencabar kerana sebelum ini pembentukan skuad baharu akan dimulakan dengan perlawanan jelajah tetapi kali ini mereka terus bermain di PSAS.

“Semuanya berjalan dengan baik tetapi masih ada yang perlu dipertingkatkan. Tentu sekali pada hari perlawanan semua pemain perlu buat yang terbaik.

“Daripada segi keserasian ia semakin baik. Sepatutnya apabila kita membina pasukan baharu ia akan bermula dengan aksi tour (jelajah) dahulu dan itu tidak ada tekanan sangat.

“Tetapi kali ini terus bermain di Piala Sultan Azlan Shah jadi ia bukan mudah. Saya dan pemain senior lain akan mencurahkan segalanya dan beri tunjuk ajar kepada pemain muda bagi bermain semudah yang boleh,” katanya.

Skuad Speedy Tigers ketika ini berada dalam fasa terakhir bagi menyenaraikan 18 pemain untuk dipertaruhkan di PSAS 2024.

Dua aksi persahabatan akan dilalui skuad kendalian Sarjit Singh iaitu menentang New Zealand dan selepas itu berdepan Korea Selatan.

Ketika ditanya mengenai peluang untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi edisi lalu, Fitri mengakui cabaran getir perlu dilalui pasukan terutama dengan pembentukan ‘wajah’ baharu Speedy Tigers.

“Untuk mempertahankan kejuaraan bukan mudah sebab kita pasukan baharu (dibentuk)dan pihak lawan bukan seperti tahun lepas. Dua pasukan berada ranking lebih baik daripada kita iaitu New Zealand dan Korea Selatan,” jelasnya.

Malaysia yang berada di ran­king ke-13 dunia, akan memulakan kempen menentang juara tiga kali Pakistan pada 4 Mei, diikuti aksi menentang Kanada (5 Mei), juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan (10 Mei).

Berdasarkan format kejohanan yang telah memasuki edisi ke-30, dua pasukan teratas liga sepusingan akan mencabar untuk kejuaraan manakala pa­sukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×