PETALING JAYA: Kumpulan Richiamo Sdn. Bhd. mengumumkan penstrukturan syarikat dengan melibatkan pertukaran dan pelantikan baru bagi mengetuai anak-anak syarikat yang ditubuhkan berkuatkuasa April 2024.
Menurut kenyataannya, mendahului pertukaran dan penstrukturan semula jawatan ialah Muhamad Zamry Abu Samah yang sebelum ini merupakan Pengarah Urusan Richiamo Coffee Sdn. Bhd. dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Sdn. Bhd.
Beliau bertanggungjawab terhadap pembesaran, operasi dan memantau hal ehwal anak-anak syarikat iaitu Richiamo Coffee, Richiamo Manufacturing Sdn. Bhd, Richiamo Mart Sdn. Bhd., dan Yayasan Dakwah Negara.
Muhamad Zamry berkata, penstrukturan semula syarikat ini adalah bagi mengukuhkan kedudukan jenama Richiamo di pasaran tempatan selain mengembangkan perniagaan menerusi anak-anak syarikat yang baru ditubuhkan.
“Selepas lapan tahun ditubuhkan, jenama Richiamo hanya dikenali sebagai jenama kopi dan saya merasakan sudah tiba masanya untuk kami berkembang kepada perniagaan lain yang berkait rapat dengan perniagaan teras Richiamo Coffee,” katanya.
Beliau berkata, Kumpulan Richiamo merancang untuk bergerak aktif mulai 2024 sebagai sebahagian perancangan untuk perkembangan perniagaan secara keseluruhannya.
Tambahnya, di bawah Kumpulan Richiamo beberapa anak syarikat telah dikenal pasti untuk memulakan operasi masing-masing mulai suku pertama 2024 dan calon-calon berkaliber telah pun dikenal pasti untuk mengetuai anak-anak syarikat ini.
Richiamo Holdings Sdn. Bhd. turut mengumumkan pelantikan Wan Najib Wan Daud sebagai Pengarah Urusan Richiamo Mart Sdn. Bhd. berkuatkuasa April 2024.
Sebelum pelantikan ini, Wan Najib merupakan pegawai khas kepada Pengarah Urusan Richiamo Coffee akan mengetuai operasi keseluruhan serta pengembangan dan pembukaan cawangan-cawangan Richiamo Mart di seluruh negara.
Beliau membawa bersama pengalaman luas di dalam pelbagai industri, termasuk media dan permotoran serta korporat.
Sebelum menyertai korporat beliau pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif Utusan Malaysia dan pernah menyandang jawatan Setiausaha Akhbar Menteri yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Mengetuai semua operasi Richiamo Coffee pula adalah Nurul Nabilah Muhamad Zamry dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi dan akan mengetuai semua operasi harian rangkaian kopi premium itu juga bermula April 2024.
Sehingga kini, Richiamo Coffee telah memiliki lebih 200 cawangan di seluruh negara.
Mengetuai Richiamo Manufacturing Sdn. Bhd. ialah Lim Boo Hiong yang akan memantau operasi pembuatan dan pembekalan bahan-bahan mentah yang akan digunakan oleh anak-anak syarikat Kumpulan Richiamo.
Beliau sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Kewangan DNC Asiatic Sdn. Bhd.

Manakala, Nor Zuliyana Ahmad dilantik mengetuai Yayasan Dakwah Negara yang akan memantau semua gerak kerja yayasan yang lebih bertumpu kepada kerja-kerja kebajikan dan juga tanggung jawab sosial korporat untuk Kumpulan Richiamo nanti.-UTUSAN










