MARANG: Dua rakan sekampung maut setelah motosikal jenis Modenas ditunggangi mereka terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 13.5 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Rusila di sini pada awal pagi, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, penunggang lelaki berumur 21 tahun dan pembonceng remaja perempuan berusia 18 tahun dari Rusila meninggal dunia di tempat kejadian setelah cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Razman Setapa berkata, kejadian berlaku ketika bas dipandu lelaki berumur 60 tahun dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu manakala motosikal mangsa dari arah Medan Jaya menghala ke Bandar Marang.
“Sampai di tempat kejadian, dipercayai motosikal dinaiki mangsa telah keluar dari arah Medan Jaya dan akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu bas ekspres terbabit tidak sempat brek serta elak lalu merempuh motosikal tersebut.
“Penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan parah pada kepala. Kedua-dua mereka yang merupakan rakan sekampung disahkan pasukan perubatan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, tambahnya, pemandu serta penumpang bas ekspres itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN










