Bank Dunia bimbang perkembangan pendidikan di Malaysia

Bank Dunia bimbang perkembangan pendidikan di Malaysia

PELAJAR di Malaysia dilapor menghabiskan sebanyak 12.5 tahun di sekolah tetapi hasil pembelajarannya bersamaan 8.9 tahun sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya 58 peratus murid di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir­ tahun lima, jauh lebih te­ruk berbanding rakan serantau.

Walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK), pembelajaran pelajar masih ketinggalan berbanding jangkaan.

Laporan baharu Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ menyatakan, masih ramai kanak-kanak tidak me­nerima hasil pembelajaran yang cukup di Malaysia pada ketika aspirasi negara dan usaha bersepadu untuk meningkatkan pembelajaran.

“Pelajar di Malaysia menghabiskan sebanyak 12.5 tahun di sekolah tetapi hasil pembelajarannya bersamaan 8.9 tahun sahaja.

“Jika dibandingkan dengan Singapura, pelajar menghabiskan 13.9 tahun di sekolah dan hasil pembelajaran bersamaan 12.8 tahun.

“Di Korea, rata-rata pelajar menghabiskan 13.6 tahun di sekolah dan hasilnya seperti belajar selama 11.7 tahun,” katanya.

Malah, menurut laporan itu, berbanding dengan Vietnam, sebuah negara dengan sumber yang lebih rendah, menunjukkan hasil yang lebih kukuh.

“Purata pelajar Vietnam menghabiskan sebanyak 12.9 tahun di sekolah dan hasil daripada pem­belajaran tersebut bersamaan seperti 10.7 tahun,” katanya.

Laporan itu mengenal pasti beberapa punca antaranya akses terhad kepada pendidikan awal kanak-kanak berkualiti, kesediaan guru dan kekurangan sistem penjejakan prestasi yang mantap.

Walaupun pendaftaran prasekolah telah meningkat, cabaran kekal terhadap ketersediaan terhad, kesedaran rendah dan isu kemampuan untuk sesetengah keluarga.

Menurut laporan itu, bagi menangani masalah berkenaan, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan hasil pembelajaran di Malaysia.

“Antara langkah tersebut ialah Malaysia harus mengukur dengan teliti hasil pembelajaran pelajar dan menanda arasnya mengikut piawaian antarabangsa di samping mengukur prestasi guru secara menyeluruh,” katanya.

“Di samping itu, sokongan kepada guru boleh diperkukuh melalui program latihan guru yang berkesan serta dasar yang mempertimbang pengalaman dan keperluan guru, sekali gus memastikan keberkesanan dan kelestarian pembelajaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×