PETALING JAYA: MIDF Research mengekalkan unjuran indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,665 mata atau nisbah pendapatan harga (PER) sebanyak 14.6 kali bagi 2024.
Menurut nota penyelidikan, FBM KLCI mengakhiri minggu lalu pada paras tertinggi sejak awal Mei 2022 walaupun terdapat kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih perlahan daripada jangkaan dan data inflasi yang berterusan.
Katanya, data terkini telah membawa kepada peralihan besar dalam jangkaan pasaran terhadap hala tuju dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS pada masa hadapan kerana Fed kini dijangka mengekalkan dasar sekatannya untuk tempoh yang lebih lama.
Bank pelaburan berkata, walaupun keputusan kadar faedah AS mungkin tidak memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia tetapi sebagai ekonomi terbesar di dunia, sebarang keputusan oleh Fed akan mempunyai kesan global.
“Kami percaya kesannya kepada ekonomi global akan melalui kesannya terhadap perbelanjaan pengguna AS dan sebagai lanjutan perdagangan global.
“Sementara itu, perbezaan kadar faedah akan menjadi faktor dalam tinjauan mata wang berbanding dolar AS dan juga mungkin mempengaruhi keputusan kadar faedah oleh bank pusat lain.
“Bagi pasaran ekuiti di seluruh dunia, ia akan memberi kesan kepada analisis penilaian pelabur, sentimen dan prospek ekonomi global,” katanya.
MIDF Amanah Investment Bank berkata, pihaknya percaya bahawa semua masih menunggu Fed AS untuk menyampaikan penurunan kadar pertamanya seperti yang dijangkakan oleh pasaran.
“Namun begitu, kami yakin dengan prospek ekonomi Malaysia dan kami mengekalkan jangkaan kami terhadap potensi pertumbuhan pendapatan korporat Malaysia.
“Pemulihan perdagangan akan terus menjadi tema untuk tahun ini. Memandangkan kami menjangkakan perdagangan luar akan menyaksikan pemulihan tahun ini, kami berpendapat saham berkaitan perdagangan seperti logistik dan pelabuhan akan mendapat manfaat daripada ini.
“Tambahan pula, kami menjangkakan kadar tambang akan stabil selepas mencecah paras terendah pada pertengahan 2023, ditambah pula dengan jangkaan pemulihan dalam jumlah penghantaran disebabkan oleh kadar semasa yang mampu milik,” ujarnya.
Sementara itu, firma juga melihat prospek peningkatan dalam sektor pembinaan dan positif mengenai prospek yang bertambah baik untuk sektor hartanah di tengah-tengah aliran menurun dalam tahap inventori syarikat hartanah.
Tambahnya, 10 saham pilihan utamanya dengan saranan ‘beli’ adalah Tasco Berhad, Sunview Group Berhad, Mah Sing Group Berhad, KPJ Healthcare Berhad, Gamuda Berhad, Westports Holdings, Samaiden Group Berhad, Petronas Gas Bhd, IJM Corporation Berhad dan Matrix Concepts Holdings Berhad. – UTUSAN










