KOTA KINABALU: Menyedari ramai pesakit talasemia yang memerlukan pam infusi desferal, Petronas mengambil inisiatif menyumbang 250 unit pam infusi kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), hari ini.
Sumbangan disampaikan sempena Majlis Ramah Mesra Hari Raya Petronas hari ini adalah kesinambungan bagi program Memacu Kehidupan yang dilaksanakan oleh cabang impak sosial Petronas iaitu Yayasan Petronas.
Menerusi sumbangan itu, YKS boleh meminjamkan pam infusi berkenaan kepada pesakit talasemia di seluruh negeri, terutama bagi mereka yang tidak mampu membeli peranti mereka sendiri untuk menjalani infusi desferal di rumah.
Peranti perubatan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petrons, Shariah Nelly Francis kepada Pengarah YKS, Dayang Rugayah Awang Besar dengan disaksikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd. Bakke Salleh.
Sementara itu, Petronas Floating LNG turut menyampaikan sumbangan kepada 24 orang pelajar tingkatan empat di Sabah.
Penyampaian sumbangan kepada pelajar disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan Aset LNG Petronas Abang Yusuf Abang Puteh.
Sumbangan kepada pelajar itu adalah kesinambungan kepada program memperkasakan ilmu yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri serta Yayasan Sabah sejak ahun lepas.
Menerusi program itu, ia akan membantu memupuk bakat tempatan bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan tenaga kerja jangka panjang di Sabah.- UTUSAN










