KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM1,450 pada 2021.
Tertuduh, Muhamad Alif Abdul Jamal, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Chukai, Kemaman didakwa secara rasuah telah memperoleh suapan sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya.
Tertuduh didakwa menerima RM1,000 dan RM450 oleh pengadu melalui dua transaksi ke dalam akaun banknya sebagai balasan memberi kemudahan istimewa kepada seorang tahanan lokap.
Bagi bayaran itu, Muhamad Alif membenarkan tahanan lokap tersebut untuk menggunakan telefon bimbit selain turut membekalkan rokok sepanjang berada dalam tahanan.
Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 17 April 2021 dan 30 November 2021 di Balai Polis Chukai, Kemaman dan didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.
Selain itu, tertuduh juga dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga perbicaraan kes selesai.
Sebaik merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 5 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula dan tarikh pengurusan kes.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd. Yusof manakala tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail. – UTUSAN











